Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
BEAUFORT: 9 Ogos 2026 – Warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beaufort terus menyumbang kepada masyarakat dan negara. Mereka bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar bersama Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), komuniti setempat, dan pelbagai agensi kerajaan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Pengerusi PAWE Beaufort, Mat Din Sanggar, berkata penglibatan aktif itu menunjukkan golongan warga emas masih mampu kekal produktif.
“Kita tidak mahu mereka hanya berada di rumah. Sebaliknya, mereka perlu menyertai aktiviti yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat,” jelasnya.
Menurutnya, gotong-royong itu bukan sahaja mencantikkan kawasan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara warga emas, agensi kerajaan, dan komuniti setempat.
Agensi yang terlibat termasuk TM Sabah, FINAS Sabah, APMM Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Lembaga Industri Getah Sabah, dan PERKESO.
Mat Din menambah, semangat kemerdekaan dalam kalangan warga emas tetap membara meskipun usia semakin meningkat. Beliau berharap lebih banyak program sebegini dianjurkan untuk membabitkan golongan berkenaan.

Program ini juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat dari kegiatan sosial dan pembangunan komuniti.
PAWE Beaufort kini mempunyai hampir 200 ahli berdaftar yang aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan, senaman, kebudayaan, dan kelas al-Quran.
Sumber: JAPEN

