TUARAN: Bagi juara Unduk Ngadau Kaamatan Tamparuli 2026, Evyanarey Larry atau lebih dikenali sebagai Yoneng, perjalanan dalam pertandingan itu bukan sekadar tentang pentas atau gelaran juara.
Sebaliknya, pengalaman itu banyak mengubah cara dia melihat dirinya sendiri, budaya dan kehidupan sebelum melangkah ke pertandingan peringkat negeri di Hongkod Koisaan KDCA nanti.
“Unduk Ngadau bukan hanya tentang penampilan di pentas.
“Ia banyak mengajar saya tentang budaya, disiplin dan yang paling penting, membantu mencari jati diri sebenar saya,” katanya.
Yoneng mengakui cabaran terbesar sepanjang perjalanan itu sebenarnya adalah melawan dirinya sendiri, terutama untuk keluar dari kebiasaan lama dan belajar menjadi individu yang lebih baik.

“Apa yang saya maksudkan dengan ‘melawan diri sendiri’ ialah melawan kebiasaan lama dalam diri saya.
“Saya mahu menjadi versi diri yang lebih baik dan lebih berusaha untuk mengenali, memahami serta menjaga adat dan tradisi kita,” katanya.
Katanya, perubahan itu bukan dilakukan hanya untuk pertandingan semata-mata, tetapi kerana dia mahu terus memegang tanggungjawab untuk memahami dan menjaga budaya walaupun pertandingan sudah tamat.
Yoneng turut mengakui abangnya, Mike Melvin Lee Larry menjadi individu yang paling banyak membentuk cara dirinya melihat kehidupan hari ini.
Katanya, dia banyak belajar tentang ketabahan, kesabaran dan disiplin melalui cara abangnya menghadapi tanggungjawab selepas bergelar Randawi Tavantang Kaamatan 2025.

“Saya sangat bangga dengan abang saya kerana beliau mampu menghadapi semua cabaran dengan begitu baik dan sentiasa menunjukkan sikap yang tenang dan positif.
“Dari situ saya belajar bahawa untuk menjadi seseorang yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain, kita bukan hanya perlu kuat dari segi luaran, tetapi juga perlu mempunyai hati yang sabar, berdisiplin dan sentiasa merendah diri,” katanya.
Di sebalik perjalanan sebagai juara, Yoneng berkata nilai untuk sentiasa humble dan tidak meninggikan diri adalah perkara yang paling dekat dengan dirinya.
Katanya, konsep “keep the bottle half water” yang sering ditekankan sepanjang bootcamp Unduk Ngadau Daerah Tuaran banyak mengubah cara dirinya melihat makna sebenar kerendahan hati.
“Saya perasan orang yang selalu meninggikan diri selalunya akan berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan sukar untuk dihormati oleh orang lain.
“Dari situ saya belajar bahawa sikap rendah diri itu sangat penting dalam kehidupan,” katanya.

Yoneng berkata, nilai itu juga banyak dipengaruhi oleh didikan keluarga dan pegangan agamanya sebagai seorang Kristian.
“Daddy saya sejak kecil selalu berpesan supaya jangan suka meninggikan diri dan sentiasa menghormati orang lain.
“Nasihat itu yang saya pegang sampai hari ini,” katanya.
Kini, Yoneng mahu membawa bukan sahaja identiti budaya Suang Lotud ke pentas negeri, tetapi juga nilai kerendahan hati, disiplin dan jati diri yang membentuk dirinya sepanjang perjalanan dalam Unduk Ngadau.
