UMS Perkenal Dua Program Alam Bina Baharu Tahun Depan

KOTA KINABALU: 7 Oktober 2025 – Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memperkenalkan program pengajian baharu iaitu Program Sarjana Muda Sains Senibina dan Program Sarjana Muda Ukur Bahan mulai tahun 2026.

Perkara tersebut dinyatakan selepas satu kunjungan hormat delegasi FKJ UMS yang diketuai Profesor Ar. Nurakmal Goh ke Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah baru-baru ini.

Pengenalan kedua-dua program itu bakal membuka peluang kepada pelajar tempatan yang selama ini terpaksa menyambung pengajian senibina dan ukur bahan di luar negeri untuk terus menimba ilmu di Sabah.

Justeru itu, kunjungan hormat ini adalah satu langkah awal universiti untuk menjalin kerjasama strategik dengan PAM bersempena dengan pengenalan program pengajian baharu tersebut.

Kerjasama ini juga bagi mengukuhkan hubungan dengan pengamal industri serta memberi ruang kerjasama melalui seminar, forum, panel penasihat dan projek tanggungjawab sosial korporat, katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PAM Sabah, Ar. Daniel Koh berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif UMS dan menganggapnya sebagai pencapaian penting bagi pembangunan pendidikan Alam Bina di Sabah.

PAM Sabah berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan UMS demi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang ini dan dapat diperluaskan melalui pelbagai platform termasuk penerbitan, forum serta aktiviti komuniti.

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut bekas Pengerusi PAM Sabah, Ar. Mok Juang Yu dan Ar. Sim Sie Hong.

Sumber: Siaran Media UMS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal