KOTA KINABALU: 26 Jun 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh komitmennya dalam memacu ekosistem inovasi negara menerusi pelancaran Hub Inkubasi Pengkomersilan (CIPTA@UMS), yang bakal menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak teknologi dan penyelidikan berimpak tinggi untuk dikomersialkan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, penubuhan hab itu mencerminkan transformasi peranan universiti sebagai peneraju inovasi yang bukan sahaja melahirkan penyelidikan berkualiti, malah berupaya menjana nilai ekonomi melalui pembangunan syarikat pemula dan syarikat terbitan berasaskan teknologi.
Katanya, perkembangan pesat teknologi global termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi berasaskan pengetahuan menuntut institusi pengajian tinggi supaya lebih proaktif dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada produk, teknologi dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Menurutnya, ukuran kecemerlangan sesebuah universiti pada masa kini tidak lagi bergantung kepada jumlah penerbitan ilmiah atau bilangan graduan semata-mata, sebaliknya dinilai melalui keupayaan menghasilkan inovasi yang berjaya menembusi pasaran dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hub Inkubasi Pengkomersilan CIPTA@UMS di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS, kelmarin.

Abdul Rahman berkata, CIPTA@UMS diwujudkan sebagai hab sehenti yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada syarikat pemula dan syarikat terbitan (Start-Up Spin-Off), bermula dari perlindungan harta intelek, pembangunan prototaip, pengesahan pasaran sehingga ke peringkat pengkomersilan.
Katanya, penubuhan hab itu turut melengkapi agenda nasional yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memperkukuh penyelidikan dan inovasi, selain membantu syarikat pemula mengharungi cabaran kritikal pada peringkat awal perniagaan yang sering dikenali sebagai Valley of Death.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan Skim Geran Pemecutan Syarikat Pemula dan Syarikat Terbitan (SUSOA) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang diperkenalkan tahun ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan syarikat berasaskan penyelidikan.
Sehubungan itu, beliau menggesa para penyelidik, inovator dan usahawan muda UMS memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan melalui CIPTA@UMS dan skim geran berkenaan untuk mempercepat proses pengkomersilan hasil penyelidikan universiti.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Tahun 2025 serta penyerahan Watikah Kelulusan Syarikat Pemula Fasa 1/2026 kepada syarikat yang berjaya.

