UMS dan UNISSAS meterai kerjasama penyelidikan perkukuh kearifan tempatan Borneo

2e611158 1b8b 4d83 ad03 b472e26289f7

SAMBAS: 4 Jun 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Sultan Muhammad Syafiuddin Sambas (UNISSAS) memeterai perjanjian kerjasama penyelidikan bagi memperkukuh pembangunan ilmu, inovasi, dan pemeliharaan kearifan tempatan masyarakat Borneo. 

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, dan Rektor UNISSAS, Dr. H. Arnadi, sempena International Conference on Local Wisdom and the Identity of the Malay Community in Borneo yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis pemeteraian turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS, Profesor Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Wakil Rektor UNISSAS, Profesor Dr. Sumar’in; Direktur Pascasarjana UNISSAS, Profesor Madya Dr. Purniadi; serta Anggota DPRD Provinsi Kalimantan Barat, Haji Subhan Nur.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan bersama, kerjasama tersebut merangkumi penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti akademik, pembangunan bakat, pertukaran kepakaran, dan penganjuran program berkaitan masyarakat, budaya dan peradaban Borneo.

Dalam ucaptama beliau bertajuk “Local Wisdom and Malay Identity in Borneo: Lessons for Sustainable Development and Future Innovation”, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly menekankan bahawa kearifan tempatan bukan sekadar warisan silam, tetapi merupakan sumber ilmu dan inovasi yang relevan untuk menghadapi cabaran pembangunan lestari pada masa hadapan.

Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif UMS termasuk pendekatan Living Lab, Borneo Festival of Ideas (BFOI), Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB), dan konsep Tropical Living University yang menghubungkan universiti dengan komuniti bagi menghasilkan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.

“Kerjasama rentas sempadan antara institusi pengajian tinggi amat penting untuk memperluaskan jaringan akademik, meningkatkan penerbitan ilmiah, dan menggalakkan perkongsian kepakaran yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serantau,” ujar beliau.

Sementara itu, sembilan orang ahli akademik dari Fakulti Pengajian Islam UMS turut membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam bidang pengajian Islam, identiti Melayu Borneo, pembangunan masyarakat, pendidikan, dan isu semasa.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah proaktif kedua-dua universiti dalam memartabatkan kearifan tempatan sebagai teras pembangunan lestari dan pengukuhan jati diri masyarakat Borneo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal