Menjelang Pilihan Raya Umum Wilayah Sabah ke-17, kemenangan Sabah Law Society dalam tuntutan hak kewangan Sabah 40% berperlembagaan, dan kewujudan niat Kerajaan Persekutuan membuat rayuan, turut menambah warna dan rencah kepada pergolakan politik Sabah. Namun kesan itu membina gelombang baru, semangat patriotik, dan kesatuan mencintai Sabah demi masa depannya semakin kuat, harum dan indah. Justeru kejayaan SLS merupakan hadiah kepada rakyat Sabah meskipun masih wujud beberapa cabaran.
Parlimen menjadi sepi tetapi mendengar dengan teliti ketika Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dengan tenang berhujah mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu, yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) – jelas menggariskan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Dengan semangat petriotik yang sama, suara Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, bergema memenuhi dewan dan menjadi viral di media sosial, “Kalau kami ini dianggap beban, tendang sahaja kami keluar seperti Singapura dulu!”. Jonathan berkata demikian apabila Kerajaan Persekutuan mengungkit peruntukan sekitar RM14 bilion yang diberikan kepada Sabah pada tahun 2025 dan 2026 melebihi kutipan hasil antara 2022 hingga 2024. Namun menurut Jonathan, hasil yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkanun, syarikat-syarikat berkepentingan Persekutuan di Sabah sebenarnya lebih besar berbanding jumlah yang dikembalikan.
“Justeru, saya meminta Kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu lagi ke Mahkamah Rayuan, lepas itu Federal Court Mahkamah telah membuat keputusan yang jelas, ini adalah kewajipan yang telah dilanggar. Perjanjian ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Kembalikanlah hak Sabah, kerana tidak mungkin bapa-bapa leluruh kami akan menyertai Malaysia kalau tidak ada jaminan bahawa 40 peratus itu diserahkan kembali kepada negeri,” katanya.
Perkembangan politik pula menyaksikan kemelut atau dilema pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) hampir dimuktamadkan, berdasarkan kepada kenyataan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifufin Nasution. Katanya ia berdasarkan kepada perbincangan antara Pengerusi PH, Datuk Awar Ibrahim bersama Puan Nurul Izzah, dan juga wakil dari GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Sebelum itu, Barisan Nasional (BN) dan PH dilaporkan telah memuktamadkan pembahagian kerusi PRU17 Wilayah Sabah untuk memastikan tidak berlaku pertindihan antara kedua-dua gabungan kerjasama tersebut.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataannya berkata Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal memainkan peranan penting dalam membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal kukuh dan dominan. Joniston yang juga mantan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu meletakkan sandarannya terhadap pengalaman lalu bagaimana PBS mampu mengharungi cabaran politik yang lebih sukar, justeru menambah keyakinan mampu menyumbang untuk memastikan GRS kekal padu dan berwibawa.
Dalam perkembangan lain, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kiulu dengan tegas menolak sebarang percubaan individu luar terjun mahu jadi calon secara tiba-tiba, yang hanya timbul di ambang pilihanraya. Exco Wiramuda STAR Kiulu berkata, jentera Kiulu dibina dengan pengorbanan, masa, tenaga, dan kesatuan ahli-ahli STAR, dan sikap mengambil kesempatan ke atas titik peluh pihak lain ditolak sama sekali. Justeru katanya, seluruh Ahli Jawatankuasa, Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Wiramuda, Wiranita dan ketua-ketua cawangan STAR N.15 Kiulu menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Bahagian, Terrence Sintih sebagai calon PRU 17 Wilayah Sabah.
Sementara itu, Ketua Penerangan STARSABAH, Mohd Anuar bin Tan Sri Datuk Seri Panglima Ghani Gilong, mendapat sokongan penuh STAR Bahagian Karanaan, sebagai calon tunggal bagi DUN Karanaan untuk PRU17 yang semakin dekat. Ketua Bahagian STAR Karanaan, Saudin, menegaskan bahawa STAR Karanaan kekal komited menuokong kepimpinan Presiden STARSABah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, yang berani membawa halatuju parti secara berdikari berteraskan semagan “Sabah for Sabahan”dan “Justice for Sabah”.
Turut mewarnai medan politik minggu ini ialah kenyataan pemimpin Gagasan Rakyat, Datuk Ruddy Awah yang didakwa membuat kenyataan bahawa beliau akan menamatkan pengaruh UMNO pada pilihanraya yang akan datang ini. Pengarah Perhubungan Strategik UMNO, Datu Rosman Datu Akhir Zaman membidas dengan berkata, “Bukan UMNO yang hilang tetapi nama Ruddy Awah yang menghilang bersama kepercayaan warga Pitas yang tinggal sedikit.”
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menuduh Hajiji “menjual ubat” hanyalah cubaan gigih mengalih perhatian dari kegagalan pentadbiran Warisan yang masih segar dalam ingatan rakyat. Menurut Nizam, hasil negeri Sabah yang mencecah hampir RM7 bilion pada tahun 2024 sebagai hasil reformasi fiscal dan pentadbiran baru; dan dalam tempoh Januari hingga Jun 2025 sahaja, pelaburan bernilai RM11.37 bilion membuktikan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar slogan kosong seperti yang cuba digambarkan oleh Warisan.
Sekitar tiga hari yang lalu, Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berada di Pintasan, Kota Belud berkata calon yang menjadi pilihan ialah yang berpotensi menang tetapi juga benar-benar menjadi suara rakyat. “Kita tidak hanya menilai calon berdasarkan pengaruh politik, tetapi juga komitmen, keikhlasan dan kemampuan mereka memahami denyut nadi rakyat,”katanya.
Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata serangan bertubi-tubi terhadap UMNO Sabah hanya akan memberi kesan negatif kepada mereka sendiri. “Akhirnya, kerja yang baik dan keikhlasan akan sentiasa lebih lantang daripada apa-apa serangan,” ujarnya. Menurut beliau, politik harus dilandaskan kepada persaingan idea serta rekod khidmat yang jelas, bukan serangan dan penghinaan terhadap pihak lain.
Sementara itu pada 30 Oktober lalu, Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berada di Pulau Nunuyan berpendapat, kekuatan BN terletak pada semangat, kesatuan dan kerja berpasukan yang kukuh di semua peringkat jentera parti.