TUARAN: 30 September 2025 – Daerah Tuaran mencatat sejarah apabila lebih 10,000 pokok tangkol (Ficus racemosa) ditanam serentak di sepanjang tebing Sungai Tuaran sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia, sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program penanaman pokok tangkol terbanyak di negara ini.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Pusat Rekreasi Kelab Tamparuli pad 28 September itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Penganjuran berkenaan menegaskan kepentingan sungai sebagai sumber kehidupan, khazanah alam, dan warisan yang wajar dipelihara untuk generasi masa depan.
Menurut Madius, pokok tangkol dipilih kerana keistimewaannya yang mampu menahan hakisan tebing sungai melalui sistem akar yang kukuh, selain buahnya menjadi makanan semula jadi ikan air tawar seperti patin.
Usaha besar-besaran ini turut memperkukuh kesedaran masyarakat tentang pentingnya melestarikan sungai serta memelihara ekosistemnya.
Sambutan kali ini menyaksikan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Tuaran, Pejabat Pendidikan Daerah, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti tempatan.
Sebanyak 45 sekolah di bawah PPD Tuaran bersama PIBG masing-masing turut mengambil bahagian menanam pokok di kawasan tebing berhampiran sekolah, sekali gus menyemai budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar.
Program ini bukan sahaja mencatat rekod kebangsaan, malah menzahirkan komitmen kolektif terhadap pemuliharaan sungai.
Kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa kelestarian alam sekitar tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh masyarakat.
Sokongan padu semua pihak mengangkat mesej jelas, iaitu menjaga sungai bererti menjaga kehidupan.
Dengan pencapaian bersejarah ini, Tuaran kini menjadi contoh gerakan hijau masyarakat setempat yang wajar dicontohi daerah lain di seluruh negara.
Sumber: FB Madius Tangau dan Malaysia Aktif