10 Teras Manifesto: Ting Shu Kiong Yakin dan Bersedia Untuk Pembangunan Menyeluruh Api-Api

photo 6140905697244285954 w

KOTA KINABALU: 26 November 2025 – Calon nombor 2, N20 Api-Api daripada Parti Star Sabah, Ting Shu Kiong, menegaskan komitmen beliau untuk membawa pembangunan menyeluruh di kawasan Api-Api sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sabah dalam satu sesi temubual bersama TV Sabah dengan menggariskan beberapa fokus utama hasil daripada pemerhatian dan pengalaman beliau sepanjang lebih 40 tahun menetap, bersekolah dan berkhidmat di Api-Api.

Menurutnya, Api-Api masih berada dalam fasa membangun dan berdepan beberapa kelemahan asas, khususnya masalah trafik harian, bekalan air, elektrik serta isu kebersihan bandar dengan menyifatkan masalah trafik sebagai isu paling kritikal yang memerlukan penyelesaian terperinci.

photo 6140905697244285951 w

Ting menegaskan bahawa Api-Api memerlukan pelan terperinci bagi mengenal pasti kawasan yang rosak, merancang pembaikan infrastruktur dan memastikan laluan bandar lebih teratur, selaras dengan kedudukannya sebagai kawasan pusat bandar dan tumpuan pelancong.

Beliau turut menitikberatkan aspek keselamatan melalui cadangan menambah pemasangan CCTV, lampu jalan serta menaik taraf infrastruktur pejalan kaki bagi menjadikan Api-Api lebih selamat dan selesa untuk penduduk serta pengunjung kerana beliau percaya peningkatan kemudahan ini bukan sahaja menjamin keselamatan pengunjung, tetapi juga memberi imej bandar raya yang lebih tersusun.

Dalam aspek pembangunan ekonomi, Ting menggariskan fokus kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan anak muda, termasuk penyediaan latihan, peluang pekerjaan dan bantuan kredit mikro kerana Api-Api mempunyai kedudukan strategik sebagai hab perniagaan dan pelancongan, sekali gus membuka peluang besar kepada usahawan muda.

photo 6140905697244285958 w

“Kita juga menyedari bahawa kadar pengangguran semakin meningkat disebabkan ramai graduan yang tidak memperoleh pekerjaan. Oleh itu, adalah wajar untuk menyediakan peluang kepada mereka bagi mencari sumber pendapatan. Salah satu pendekatannya ialah dengan memberikan bantuan kredit mikro, bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan belia sebagai kumpulan terbesar pengundi iaitu  sekitar 54 peratus, dan melalui pertemuannya dengan golongan muda dalam pelbagai  program seperti sukan serta komuniti, beliau melihat sendiri peningkatan kesedaran politik yang semakin positif dalam kalangan mereka.

“Golongan belia pada masa kini dilihat lebih celik dengan isu-isu semasa, terutamanya yang berkaitan dengan politik. Mereka bukan sekadar menerima pendapat ibu bapa atau rakan-rakan, tetapi memiliki keupayaan untuk membuat penilaian dan keputusan secara sendiri,” katanya.

photo 6140905697244285952 y

Dalam masa sama, Ting menegaskan pendirian berkenaan hak 40% hasil Sabah dan menjelaskan perbezaan antara perbelanjaan tahunan Persekutuan dan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan dengan menyatakan hak tersebut adalah mandatori, bukan sesuatu yang boleh dirunding dan hak itu mesti dikembalikan sambil menekankan kepentingan autonomi negeri.

Mengulas Manifestonya, Beliau menjelaskan bahawa Manifesto setempat yang mengandungi 10 teras utama merupakan “kontrak” dengan rakyat, di mana setiap teras disertai pelan pelaksanaan terperinci supaya janji dalam manifesto dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan memberi impak nyata kepada masyarakat.

Di penghujung temubual, Ting menyeru pengundi Api-Api khususnya agar menilai calon berdasarkan kelayakan, integriti dan kemampuan bekerja, bukan hanya berdasarkan parti kerana pada akhirnya yang menjaga sesuatu kawasan itu ialah calon yang dipilih sendiri, ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal