Tiga Pesuruhjaya Kehakiman Baharu Angkat Sumpah di Kota Kinabalu

Gambar Tiga Hakim Dilantik

KOTA KINABALU: 2 Oktober 2025 – Tiga individu pada 1 Oktober mengangkat sumpah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dalam satu majlis di Dewan Persidangan, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, selepas menerima Surat Cara Pelantikan dari Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Mereka ialah bekas Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak, Steve Ritikos, 60, Ratanah Devi Yusof Perumal, 50, dan anak jati Sabah, Hamid Ismail, 49.

Lafaz sumpah jawatan dan taat setia dilakukan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Pelantikan ini dibuat mengikut Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara.

Steve yang memulakan kerjaya kehakiman sebagai majistret di Kuala Lumpur pada 1991 mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai majistret dan penolong kanan pendaftar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, selain menyandang jawatan penting termasuk Ketua Penolong Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Bangi, Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara Kuching, dan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu.

Ratanah pula memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang dan Sarjana Pengadilan Jenayah dari Universiti Malaya, dan memulakan kerjaya guaman sebagai peguam bela serta peguam cara di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 2021.

Sementara itu, Hamid yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mula bergiat dalam bidang guaman pada 2001 sebagai peguam bela dan peguam cara.

Majlis pelantikan tersebut turut dihadiri Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Sumber: JAPEN Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal