Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 15 Julai 2026 – Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, serbuan kira-kira jam 12.50 tengah hari itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai hasil maklumat awam.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang berada di luar sebuah rumah diberkas sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi untuk membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Tawau di talian 089-772121 bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah di daerah itu.
Sumber : Polis Daerah Tawau

