TAWAU: 21 Oktober 2025 — Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan kes seorang lelaki cedera dipukul menggunakan tali pinggang dan diacukan pedang samurai dalam kejadian di T2@Apas, Takada.
Penahanan dilakukan susulan siasatan terhadap dua suspek pertama yang ditahan minggu lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira jam 2 petang di sekitar Pusat Komersial Ba Zhong, Tawau hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian yang menyebabkan mangsa berusia 32 tahun mengalami luka pada pipi kiri dan sakit di bahagian belakang badan.
Insiden berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam pada 11 Oktober lalu apabila mangsa diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan tali pinggang dan pedang samurai di hadapan sebuah kedai snuker di T2 Takada.
Dua suspek pertama, masing-masing berusia 22 dan 23 tahun, ditahan pada 15 Oktober, dengan seorang daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Hasil semakan mendapati dua daripada tiga suspek terbaharu mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah, manakala seorang lagi merupakan penjawat awam negeri.
Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut. Polis menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan awam.
Sumber: Polis Daerah Tawau