Tiada Kesan Penderaan Pada Tubuh Zara Qairina – Doktor

KOTA KINABALU : 9 September 2025 – Mahkamah Koroner pada Selasa dimaklumkan bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan dikesan pada tubuh Zara Qairina yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah pada 16 Julai lalu.

Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Janefer Voo berkata, beliau menerima pesakit itu pada jam 4.38 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan mendapati bahagian belakang kepala mangsa cedera, bengkak dan berdarah.

Menurut Dr Janefer, Zara Qairina turut mengalami patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah tulang terbuka pada buku lali kaki kiri serta patah tulang tertutup pada buku lali kanan.

Beliau menjelaskan, pada jam 4.42 pagi pihaknya mengaktifkan “Trauma Alert” di Jabatan Kecemasan HQE untuk rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

Pada masa sama, pasukan perubatan menjalankan proses resusitasi bagi menyelamatkan pesakit.

Kata beliau lagi, hasil pemeriksaan menunjukkan mangsa disyaki mengalami kecederaan otak yang teruk, selain patah tulang pada beberapa anggota badan.

Pesakit juga dipercayai mempunyai pendarahan dalaman yang berpunca daripada impak kuat, ditambah dengan tekanan darah yang terlalu rendah.

Dr Janefer menegaskan, walaupun kecederaan yang dialami serius, pemeriksaan tidak menemui sebarang tanda lebam atau kesan penderaan pada tubuh mangsa.

Kecederaan yang ada hanyalah pada bahagian kepala, pergelangan tangan kiri dan kedua-dua buku lali.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal