oleh David E.
TENOM: 23 Oktober 2026 – Tenom menyasarkan pengeluaran kopi tempatan mampu memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan empat kilang kopi di daerah itu menjelang 2030, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata usaha meningkatkan pengeluaran kopi akan dipergiatkan menerusi galakan supaya orang ramai mendaftar tanah masing-masing untuk penanaman kopi.
“Untuk tahun ini, kita membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menanam kopi supaya mendaftarkan tanah mereka.
“Setakat ini, kita telah memperoleh kira-kira 70 ekar untuk tanaman kopi baharu di Tenom dan saya berharap jumlah itu akan terus meningkat,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Melalap berkata demikian ketika berucap pada Pesta Kopi Tenom 2026 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanum hari ini.
Jamawi berkata lebih banyak sokongan akan diusahakan untuk membantu petani yang berminat mengusahakan tanaman kopi, sekali gus meningkatkan pengeluaran demi memenuhi keperluan kilang pemprosesan di daerah itu.
Menurutnya, tanaman kopi memerlukan kira-kira tiga tahun sebelum mula mengeluarkan hasil, manakala harga kopi kering ketika ini dianggarkan RM20 sekilogram.
Jelasnya, antara cabaran yang perlu ditangani ialah proses pengeringan demi memastikan hasil pengeluaran dapat diuruskan dengan lebih baik.
“Masalah berkaitan pengeringan dan sebagainya akan kita cuba atasi melalui pembinaan kilang pengeringan kopi di Tenom.
“Projek itu telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ketika ini, ia sedang dalam proses tender,” katanya.
Beliau berharap usaha memperluaskan penanaman kopi dan penyediaan kemudahan pemprosesan dapat meningkatkan pengeluaran Tenom dan memastikan bekalan mencukupi untuk keperluan industri tempatan.
Terdahulu, Jamawi bersama Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew, dan pegawai kementerian lain menyambut ketibaan penumpang keretapi Ekspres dari Tanjung Aru-Tenom yang pertama hari ini. Perkhidmatan tren khas itu dijadualkan berjalan tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.


Jamawi bersama Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew, dan pegawai kementerian lain menyambut ketibaan penumpang keretapi Ekspres dari Tanjung Aru-Tenom
Sumber: MAFFI

