Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 29 September 2026 – Teknologi perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh peranan pustakawan dalam penyampaian ilmu pada era digital.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, James Ratib berkata kecerdasan buatan, pendigitalan, automasi dan media sosial, termasuk platform digital, telah mengubah landskap penyampaian maklumat.”

Perubahan teknologi bukan ancaman, sebaliknya pemangkin untuk memperkukuhkan peranan pustakawan.
“Perpustakaan mesti terus berkembang daripada tempat mendapatkan bahan bacaan kepada hab ilmu, pembelajaran, inovasi dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron, pada majlis perasmian Persidangan Pustakawan Borneo 2026 (PPB2026) di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya lagi, pustakawan perlu meningkatkan kompetensi dalam literasi digital, teknologi, pengurusan data, komunikasi dan pemikiran kritis.
Persidangan itu berlangsung dari 29 hingga 30 September dengan penyertaan kira-kira 100 pustakawan dari seluruh Malaysia, termasuk Brunei Darussalam.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

