KOTA BELUD: 6 November 2025 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh agenda pembangunan ekonomi luar bandar melalui pelaksanaan projek Tamu Desa, yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan keusahawanan komuniti tempatan.
Perasmian Tamu Desa Kampung Tinata di Kota Belud pada 5 Oktober mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluas peluang ekonomi rakyat melalui pendekatan bersepadu antara kementerian, agensi, dan kerajaan negeri.
Projek berkenaan bukan sekadar menyediakan tapak perniagaan yang lebih kondusif, tetapi juga membuka ruang kepada usahawan mikro, petani, dan peniaga kecil untuk menjana pendapatan serta memasarkan produk mereka dengan lebih teratur dan mampan.
Sejak pelaksanaannya, sebanyak 49 projek Tamu Desa Fasa 1 (2024) telah disiapkan di Sabah dan Sarawak dengan kos RM8.69 juta, memberi manfaat kepada hampir 2,000 peniaga. Fasa 2 (2024) pula melibatkan 51 projek tambahan bernilai RM9.99 juta, memberi manfaat kepada jumlah peniaga yang sama.
Bagi tahun 2025, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk membina 46 projek baharu di Sabah, termasuk tujuh tapak di Daerah Kota Belud. Pelaksanaan ini dijalankan bersama Pejabat Daerah, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, dan agensi pelaksana di bawah KUSKOP bagi memastikan manfaatnya sampai terus kepada penduduk.
Selain pembangunan fizikal, KUSKOP turut memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pelbagai skim dan geran seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), TEKUN Nasional, Geran BEEP Plus (SME Corp.), serta Geran dan Tabung Modal Pusingan SKM yang keseluruhannya bernilai puluhan juta ringgit.
Setakat Disember 2024, Sabah merekodkan 1,994 koperasi berdaftar dengan keanggotaan 376,559 orang dan aset terkumpul melebihi RM1 bilion, sekali gus membuktikan potensi besar gerakan koperasi dalam memperkasa ekonomi rakyat.
Melalui Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat”, kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk kemudahan dan jaminan pembiayaan kepada usahawan serta koperasi. Langkah ini menegaskan kesinambungan dasar KUSKOP dalam memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif, seimbang, dan mampan di seluruh negara.

