Tambunan Jazz Orkestra Juarai Pertandingan Orkestra Jazz Peringkat Negeri Sabah 2025

KOTA KINABALU: 17 Ogos 2025 – Tambunan Jazz Orkestra dinobatkan sebagai juara Pertandingan Orkestra Jazz Perpaduan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang berlangsung di SJK C Chung Hwa Likas, pada 11 hingga 13 Ogos yang lalu.

Pertandingan anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia itu menampilkan satu kategori sahaja dengan penyertaan tiga kumpulan terbaik hasil saringan peringkat awal. Setiap kumpulan dianggotai 20 pelajar yang mewakili daerah masing-masing.

Foto: Kumpulan Tambunan Jazz Orkestra. – Jason Boyd Studio

Kumpulan juara berkenaan mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tambunan dengan keanggotaan 20 pelajar gabungan dari SMK Tambunan dan SMK Nambayan. Persiapan mereka turut disokong lima orang guru, pengetua sekolah, pegawai kokurikulum, dan pihak pengurusan PPD Tambunan.

Persiapan ke pertandingan itu tidak mudah apabila mereka berdepan kekangan masa akibat jadual sekolah yang padat, selain masalah kostum yang ditolak dua kali sehingga memaksa pasukan menyiapkannya sendiri sehari sebelum persembahan.

Faktor jarak antara dua sekolah juga menjadi cabaran apabila pusat latihan perlu digilirkan, manakala guru terpaksa membawa pelajar ke lokasi latihan sebelum ibu bapa mengambil mereka pulang selepas sesi intensif berkenaan selesai.

Kumpulan tersebut turut berdepan kekurangan dana. Bagaimanapun, guru-guru mengambil inisiatif mendapatkan sumbangan dari PPD Tambunan serta beberapa syarikat tempatan termasuk Jesrenny Enterprise, Deli Delite, Sinalau Babs, dan Fame Music Academy.

Dengan kemenangan ini, Tambunan Jazz Orkestra melayakkan diri untuk mewakili Sabah ke Pertandingan Orkestra Jazz Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Melaka pada 8 hingga 10 September 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal