Syra Oliviaa juara Sugandoi Papar, sasar kembalikan kegemilangan daerah

Gambar Juara Sugandoi Papar

PAPAR: 28 April 2026 – Bakat baharu, Syra Oliviaa Rayner, dinobatkan sebagai juara Sugandoi peringkat daerah Papar 2026 di pertandingan akhir Sugandoi peringkat daerah Papar pada 27 April, sekali gus dipilih sebagai wakil rasmi pertama ke pertandingan peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di KDCA bermula 16 Mei depan.

Dengan kemenangan yang bermakna tanggunjawab besar, Syria berkata, “Tekanan itu memang ada, sebab kita mahu bawa balik gelaran juara untuk Papar. Tapi saya anggap ini sebagai motivasi untuk buat yang terbaik,” katanya.

Menurut beliau, perjalanan di peringkat daerah sendiri tidak mudah, apatah lagi menjelang saingan di peringkat negeri yang dijangka lebih sengit. Kekangan masa menjadi antara cabaran utama, khususnya apabila format pertandingan berubah secara mendadak.

“Semasa saringan dan separuh akhir kami guna minus one, tapi di final perlu menyanyi dengan live band. Masa latihan pun sangat singkat, hanya dua hingga tiga hari, jadi memang mencabar untuk sesuaikan diri.

“Saya sebenarnya sudah lama berehat, tapi keluarga dan kawan-kawan yang banyak bagi semangat untuk saya cuba lagi. Tidak sangka pula boleh sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Melangkah ke peringkat negeri, beliau menjangkakan saingan yang lebih mencabar dengan kehadiran peserta terbaik dari seluruh Sabah. Namun, beliau nekad memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama daerah.

Sebagai juara, Syra turut menerima peluang menghasilkan sebuah lagu single tajaan PUSAKAG Production, yang dilihatnya sebagai langkah penting dalam mengembangkan kerjaya seninya.

Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama beliau sebagai bakat baharu, malah menghidupkan semula aspirasi Papar untuk kembali mencipta kejayaan di pentas Sugandoi negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal