Syabu 25.7kg bernilai RM1.28 Juta dirampas polis Penampang

Gambar Dadah 1.2Juta

PENAMPANG: 24 Februari 2026 – Polis berjaya melumpuhkan satu lagi cubaan pengedaran dadah berskala besar di daerah ini apabila merampas lebih 25 kilogram dadah jenis syabu bernilai hampir RM1.3 juta dalam satu operasi khas di sebuah kondominium, 23 Februari lalu.

Operasi yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu membawa kepada rampasan 25,744.37 gram syabu, disyaki untuk pasaran tempatan dan luar daerah.

Siasatan awal mendapati dadah berkenaan disimpan di dalam empat kotak, mengandungi 24 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Menurut polis, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti serta menahan individu-individu yang terlibat, termasuk membongkar keseluruhan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai beroperasi secara tersusun di kawasan ini.

Dalam pada itu, pihak polis merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan. Polis turut menggesa masyarakat untuk terus tampil membantu bagi memastikan Penampang kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal