KUCHING: 24 September 2025 – Temasya Sukan Borneo kembali semula selepas 12 tahun dengan majlis perasmian penuh meriah di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, menandakan kesinambungan tradisi sukan serantau yang bermula sejak tahun 1955.
Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, diserikan dengan upacara menaikkan bendera temasya, perarakan kontinjen serta persembahan kebudayaan.
Atlet dan pegawai teknikal turut melafazkan ikrar sebagai simbolik bermulanya kejohanan yang berlangsung sehingga 28 September.
Penganjuran edisi 2025 ini merupakan inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi mengembalikan semangat kebersamaan Borneo serta menyediakan platform pembangunan atlet muda.
Temasya kali terakhir diadakan di Labuan pada 2013.
Sukan Borneo Kuching 2025 menghimpunkan 387 atlet dari Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan Timur, Indonesia.
Kalimantan Barat yang pada awalnya mengesahkan penyertaan menarik diri pada saat akhir.
Atlet akan bersaing dalam pelbagai acara termasuk badminton, boling padang, olahraga, memanah, renang serta dua acara tradisional iaitu tarik tali dan menyumpit.
Acara menyumpit dijadikan pertandingan demonstrasi, manakala golf khas untuk peserta VIP berlangsung tanpa pengiraan pingat.
Menurut Abdul Karim, penganjuran temasya ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadikan Sarawak sebagai hab sukan serantau menjelang penghujung dekad.
Beliau juga menggalakkan atlet dan pengunjung memanfaatkan peluang melawat destinasi pelancongan utama sekitar Kuching sepanjang kejohanan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, menyifatkan temasya kali ini bersejarah kerana menghidupkan kembali acara selepas lebih satu dekad.
Beliau menegaskan persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), meliputi penyediaan venue bertaraf antarabangsa, teknikal pertandingan, penginapan, pengangkutan, keselamatan dan sokongan sukarelawan.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat yang juga Ketua Kontinjen Sarawak, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Morshidi Frederick serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Khairul Nizam Morshidi.
Sumber: Astro Awani
