KUALA LUMPUR – Pasukan tarik tali Kolej Vokasional (KV) Keningau mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Tarik Tali Indoor Peringkat Kebangsaan bawah 23 tahun yang berlangsung di Dewan Komuniti Sentul Perdana, di sini.
Dianggotai sembilan pelajar berusia 16 dan 17 tahun, pasukan itu bukan sahaja menjuarai kategori lelaki bawah 23 tahun 600kg, malah turut meraih naib johan dalam kategori lelaki senior 600kg. Kejayaan tersebut membolehkan mereka membawa pulang pingat serta hadiah wang tunai berjumlah RM600.
Kejohanan anjuran Malaysia Tug of War Federation (MTWF) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menyaksikan penyertaan 11 pasukan dari seluruh negara dalam tiga kategori utama lelaki senior 600kg, perempuan senior 500kg dan lelaki bawah 23 tahun 600kg.
Sabah turut mendominasi kejohanan apabila pasukan Gerambeat PS (kategori lelaki senior) dan Gerambeat Ladies (kategori perempuan senior) muncul juara.

Barisan pelajar KV Keningau yang menjulang kejuaraan terdiri daripada Ahmad Mu’ammar Amin Amrikan, Abdul Afkar Sulaim Yunus, Beniko Devis John, Haiqal, Langub Peter, Ferdi Lasung Suzandi, Nick Syam, Darren Allai dan Alshaveen Fero Inting. Mereka dibimbing oleh jurulatih Chan Yuen Fong dengan sokongan guru pengurus, Nirwana Japili.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kemampuan pelajar bersaing di peringkat kebangsaan, selain memperkukuh kemahiran insaniah serta disiplin melalui penglibatan kokurikulum.
Pasukan tarik tali KV Keningau sebelum ini turut menjuarai dua kejohanan di Sabah pada 2024, masing-masing di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, dan Taman Bandukan Riverside Resort, Keningau.

