KOTA KINABALU: Selepas hampir tiga dekad memperjuangkan muzik secara konsisten, kumpulan rock moden dari Sabah, Stereoangel, akhirnya merealisasikan impian terbesar mereka menerusi pelancaran album sulung berjudul Abstraksasi.
Album yang dilancarkan pada November lalu itu menjadi penanda aras penting dalam perjalanan seni Stereoangel, sekali gus membuktikan kumpulan tersebut masih relevan dan terus aktif dalam industri muzik tempatan.

Kumpulan itu dianggotai Mhai, 44, (vokal/gitar kedua), Nai, 44, (bass), Ding, 38, (gitar utama), Moli, 39, (dram) dan Apis, 37, (keyboard/synth).
Menurut vokalis Stereoangel, Mhai, konsep muzik kumpulan itu sejak awal lagi berpaksikan penyampaian mesej yang lebih luas dan dekat dengan kisah masyarakat.
“Stereoangel memilih untuk mempelbagaikan genre dan tema lagu, termasuk karya berunsur patriotik dan terselit lagu raya, sekali gus membezakan kami daripada kebanyakan kumpulan yang cenderung menumpukan kepada lagu cinta,” katanya.

Album terbitan Mesqa Entertainment itu turut menerima sokongan Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures, dan mempunyai potensi besar untuk mendapat perhatian khalayak.
Sementara itu, pemain dram, Moli, berkata, Abstraksasi merupakan taruhan penting buat Stereoangel untuk menarik perhatian pendengar baharu, khususnya generasi muda, selain memperkenalkan semula nama kumpulan itu selepas sekian lama bergerak dalam lingkungan muzik ‘underground’.
Stereoangel kini giat mempromosikan single Ku Bukan Dewi Cinta, dengan muzik video rasmi yang telah dilancarkan menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn Bhd. Selain itu, sebuah lagi lagu daripada album Abstraksasi, iaitu Bukan Kehendakku, turut dirancang untuk diputarkan secara serentak di 50 stesen radio di Indonesia.
Majlis pelancaran album Abstraksasi, beserta tayangan muzik video dan persembahan showcase khas Stereoangel, telah berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kota Kinabalu, pada November lalu.
