Kuala Lumpur, 14 Jun 2025 —Stefanus Lucas, seorang guru pendidikan khas dari Sabah, telah mencipta detik bersejarah apabila diumumkan sebagai penerima utama RISE Educator Award 2025 dalam satu majlis anugerah yang penuh emosi jasa-jasa pendidikan. Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat namanya sebagai individu yang berdedikasi tinggi dalam dunia pendidikan, malah menjadi lambang kemenangan kepada seluruh komuniti murid berkeperluan khas di Malaysia.
RISE Educator Award, yang dianjurkan oleh Taylor’s College merupakan platform berprestij yang mengiktiraf guru-guru luar biasa yang menunjukkan komitmen, kreativiti, dan keberanian dalam memperjuangkan pendidikan yang inklusif dan berimpak tinggi. Tahun ini menandakan tahun kelima penganjurannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 2021.
Selain itu, pemenang utama RISE Educator Award 2025 membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta berpeluang untuk menyertai program pembangunan profesional di peringkat antarabangsa. Anugerah ini bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi pengiktirafan besar terhadap usaha gigih beliau selama hampir sedekad dalam pendidikan khas.

“Saya rasa gembira dan sebak yang sukar digambarkan, seperti mimpi jadi nyata,” ujar Stefanus ketika ditanya mengenai perasaannya saat diumumkan sebagai pemenang. “Dalam detik penuh emosi itu, wajah-wajah muridnya segera terbayang di mata, inilah kemenangan untuk mereka juga,” katanya dengan nada penuh syukur.
Bermula sebagai guru pendidikan khas penglihatan di SKPK Tuaran sejak tahun 2016, beliau kini berkhidmat di SKPK Kota Kinabalu bersama murid-murid pendengaran. “Asalnya saya bukan dari bidang ini, tapi mendiang ibu saya yang tanam benih semangat dalam diri saya untuk jadi guru. Hari ini, murid-murid saya pula yang terus membakar semangat itu,” jelasnya.
Dalam mengharungi cabaran, antara yang paling mencabar adalah persepsi masyarakat terhadap kemampuan murid berkeperluan khas, terutamanya dalam bidang seni. Namun, guru ini tidak pernah patah semangat. Beliau belajar bahasa isyarat, mencuba pelbagai pendekatan, dan yang paling penting, keyakinan beliau bahawa jika diberi peluang, murid-murid ini mampu melakukan perkara luar biasa.
Falsafah pengajarannya juga unik dan menyentuh hati: “Focus on ability, not disability.” Prinsip ini diterjemahkan melalui usaha-usaha konkrit, termasuk penubuhan bilik muzik mesra murid pendengaran dan “ensembel boy” band pertama di sekolah pendidikan khas pendengaran. Meskipun tidak mendengar seperti kebanyakan orang lain, murid-murid ini dapat ‘merasakan’ muzik melalui getaran dan emosi, sebuah bukti bahawa seni itu universal.
Menariknya, Stefanus merupakan pemenang kedua dari Sabah yang pernah menerima anugerah tertinggi RISE Educator Award sejak ia mula diperkenalkan, sekali gus membuktikan potensi luar biasa pendidik dari negeri di bawah bayu dalam mencorak masa depan pendidikan negara. Turut berdiri sebagai finalis lima terbaik di peringkat akhir tahun ini ialah Hallsen Justin.
Ketika ditanya mengenai impak anugerah ini terhadap masa depannya sebagai pendidik, beliau menyatakan keazaman untuk memperluaskan usaha membina ruang muzik yang lebih inklusif, bahkan bercita-cita untuk menghasilkan model bilik muzik mesra OKU yang boleh dijadikan rujukan oleh sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
Harapannya terhadap sistem pendidikan negara juga jelas iaitu agar lebih terbuka, inklusif, dan bersedia dengan kemudahan serta latihan yang sesuai untuk semua murid, termasuk mereka yang berkeperluan khas. Jika diberi peluang memimpin perubahan, keutamaannya adalah memastikan kemudahan asas untuk pendidikan khas disediakan dengan lengkap, bukan sekadar peralatan, tetapi juga latihan guru yang mencukupi dan efektif.
Stefanus sempat menitipkan pesan yang mendalam kepada guru-guru baharu: “Kenali murid anda dengan hati. Kadang-kadang kita rasa usaha kita kecil, tetapi di mata mereka, kita adalah superhero mereka. Itu lebih berharga daripada segala pujian.”