Status Membakut sebagai daerah penuh saksikan
limpahan pembangunan
MEMBAKUT: Lebih 30,000 penduduk Membakut bakal menikmati pelbagai pembangunan pesat dan kemudahan canggih seperti daerah lain di negeri ini berikutan statusnya yang dinaik taraf daripada daerah kecil Membakut kepada daerah penuh.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan perkara itu dengan berkata kerajaan sudah meluluskan status daerah kecil Membakut sebagai daerah penuh.
Beliau mengumumkan ini di majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, Membakut, di sini malam Khamis.
“Dengan status barunya, Membakut akan menyaksikan kerancakan pembangunan di daerah ini dan memacu sosio ekonomi penduduknya,” katanya menambah Datuk Arifin mencadangkan supaya daerah kecil Membakut dinaik taraf menjadi daerah penuh. Kabinet menyokong dan meluluskan permohonan itu.
Datuk Mohd Arifin Arif adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut.
Difahamkan penaikan taraf itu sudah pun diluluskan awal tahun ini dan sedang menunggu pewartaannya yang dijangka dilakukan tahun ini juga. Proses pembahagian kawasan juga sudah dijalankan di kawasan parlimen Kimanis.
Dalam perancangan juga Arifin memberitahu mereka sudah menyenaraikan bentuk pembangunan setaraf dengan statusnya sebagai daerah penuh iaitu membina pejabat daerah dan majlis daerahnya sendiri.
Membakut sebelum ini adalah daerah kecil yang terletak dalam daerah Beaufort. Membakut berasal dari perkataan ‘bakut’ yang membawa maksud ‘kota’. MEM pula adalah kata perbualan apabila digabungkan ‘membakut’ bermaksud ‘membuat kota’.
Daerah Kecil Membakut pada awalnya telah diterokai pada tahun 1898. Pekan ini pada masa dahulu tertakluk dibawah Pentadbiran Kerajaan British North Borneo.
Pejabat Daerah Kecil Membakut diwujudkan pada April 1977. Bangunan Pejabat Daerah Kecil Membakut pada masa itu ialah sebuah rumah lama dengan Ibrahim Hj.Ahmad sebagai Penolong Pegawai Daerah Membakut yang pertama.
Bangunan Pejabat Daerah Kecil Membakut yang baru mula dibina pada tahun 1978 dan siap pada tahun 1979 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Harris Mohd Salleh pada 28 Oktober 1979.
Kini bangunan baru Urusetia Kecil Membakut (Pejabat sekarang) di tapak kawasan yang sama bagi menggantikan bangunan Pejabat Daerah Kecil yang lama dan telah beroperasi mulai tahun 2000.
Penduduk Daerah Kecil Membakut sangat padat dan dahulu meliputi tiga kawasan ADUN iaitu Beaufort, Bongawan dan Kuala Penyu. Sekarang hanya satu Adun Membakut dan Parlimen Kimanis.
– Tv Sabah News
0 Comments