STAR Bingkor sokong Presiden STAR demi kestabilan Kerajaan GRS

Ishack dan Jeff

KENINGAU — STAR Bahagian N.40 Bingkor menegaskan sokongan padu terhadap kenyataan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, untuk terus bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi memastikan kesinambungan pembangunan di DUN Bingkor dan Tambunan selepas kemenangan pada PRU-17 baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Pemangku Ketua Bahagian, Robert Paulus berkata, STAR Bingkor berdiri teguh di belakang Presiden parti dalam memperkukuh kerjasama politik dengan GRS bagi menjamin kestabilan politik dan memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Perjuangan menuntut hak Sabah memerlukan kestabilan politik. Kerjasama erat parti-parti tempatan yang menerajui kerajaan negeri adalah kunci memastikan dasar pro-rakyat dapat diteruskan, seiring aspirasi menjadikan Sabah setanding negeri jiran, Sarawak,” katanya.

STAR Bingkor turut merakamkan ucapan tahniah kepada ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, atas kemenangan bergaya di Tambunan, serta Datuk Ishak Datuk Ayub yang memenangi DUN Bingkor dengan majoriti selesa dan kini menyandang jawatan Pembantu Menteri Kewangan Sabah.

Menurut STAR Bingkor, kejayaan tersebut membuktikan kepercayaan rakyat terhadap hala tuju kepimpinan negeri dan penting untuk memastikan agenda pembangunan digerakkan secara tersusun serta inklusif.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan baru-baru ini, Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau menjelaskan bahawa sokongan kepada kerajaan GRS adalah selari dengan kehendak ahli parti yang mengutamakan kestabilan politik.

“GRS mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan politik, dan STAR juga mahukan perkara itu. Maka adalah wajar menyokong kerajaan ini. Pilihan raya telah selesai, sekarang masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan sokongan tersebut tidak bermakna STAR mengabaikan perjuangan hak Sabah, sebaliknya komitmen itu akan diteruskan dari dalam kerajaan. Pada persidangan pertama DUN Sabah penggal ke-17 Khamis lalu, beliau mengangkat sumpah sebagai penyokong kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal