KOTA BELUD: Keputusan PNGK 4.0 yang diraih Christina Binti Limun dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi hadiah istimewa untuk ibu bapanya yang tidak pernah berhenti menyokong sepanjang perjalanan pendidikannya.
Bagi pelajar dari Kampung Pinolobu itu, segala pengorbanan, kerja keras dan sokongan yang diberikan keluarga menjadi sebab utama dia berusaha mencapai keputusan terbaik
“Saya bertekad untuk membalas jasa mereka dengan menghadiahkan keputusan PNGK 4.0 ini sebagai bukti bahawa sokongan mereka tidak sia-sia,” katanya.
Selain ibu bapa, Christina turut mengakui kejayaan kakaknya, Vanisa Binti Limun, yang memperoleh PNGK 4.0 pada 2024 menjadi sumber inspirasi terbesar dalam perjalanan akademiknya.
Melihat kejayaan itu dari dekat memberi keyakinan bahawa dia juga mampu mencapai pencapaian yang sama.
“Melihat dedikasi kakak Vanisa secara dekat, ia menyemarakkan lagi semangat saya.
“Terutamanya semasa dia berkongsi tentang peluang biasiswa dan laluan kerjaya yang luas selepas STPM. Sejak hari itu, saya menjadikan kejayaannya sebagai penanda aras untuk saya terus berdisiplin demi mengikut jejak langkahnya,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan menuju keputusan cemerlang itu bukan sesuatu yang mudah.
Bagi Christina, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah menyesuaikan diri dengan sistem STPM yang memerlukan pemikiran analitikal dan kemahiran berfikir aras tinggi.
“Silibus STPM menuntut saya bukan sekadar menghafal fakta, sebaliknya memerlukan keupayaan analitikal yang kritis dan matang untuk mengulas sesuatu isu.
“Keadaan ini memerlukan saya mengubah corak pembelajaran lama kepada pemikiran analitikal, dan ini adalah satu proses yang sangat mencabar,” katanya.
Selain itu, dia juga perlu mengekalkan konsistensi dari Semester 1 hingga Semester 3, sesuatu yang disifatkannya sebagai cabaran psikologi yang tidak kurang besarnya.
“Keupayaan untuk menguruskan tekanan emosi dan menukar rasa bimbang menjadi motivasi proaktif adalah kunci utama di sebalik pencapaian PNGK 4.0 ini,” katanya.
Walaupun tidak pernah berada pada tahap hampir berputus asa, Christina mengakui pernah melalui fasa kekecewaan ketika keputusan yang diperoleh tidak mencapai sasaran peribadi yang ditetapkan.
Namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya.
Sebaliknya, dia memilih untuk terus memperbaiki diri dan melihat setiap kelemahan sebagai peluang untuk menjadi lebih baik.
Di sebalik keputusan cemerlang yang diraih, Christina berkata ramai tidak melihat pengorbanan masa dan disiplin yang perlu dilalui sepanjang tempoh pengajian.
“Ada hari-hari yang saya berasa sangat penat, malas dan hilang fokus terutamanya apabila ada kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum yang memerlukan banyak tenaga.
“Tetapi saya tetap memaksakan diri untuk mengulang kaji supaya tidak ketinggalan pelajaran,” katanya.
Selain itu, dia juga mengurangkan masa bersama rakan-rakan dan mengehadkan aktiviti hiburan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
“Keputusan ini bukan tentang kebijaksanaan semata-mata, sebaliknya ia adalah bukti ketahanan mental dan keupayaan saya untuk terus berusaha walaupun dalam keadaan tertekan,” katanya.
Di sebalik semua cabaran itu, keluarga kekal menjadi sumber kekuatan terbesar.
Christina berkata ibu bapanya sentiasa memastikan keperluan pembelajaran mencukupi selain menyediakan suasana yang kondusif untuk belajar.
Malah, orang pertama yang terlintas di fikirannya selepas melihat keputusan PNGK 4.0 ialah bapanya.
“Bapa, individu yang sangat komited menghantar saya ke sekolah setiap hari tanpa mengira penat lelah.
“Saya amat berhasrat untuk membuktikan kepadanya bahawa segala pengorbanan masa dan tenaga yang diberikan telah membuahkan hasil,” katanya.
Menurut Christina, pelajaran hidup paling berharga yang dipelajari sepanjang perjalanan tersebut ialah kecemerlangan tidak bergantung kepada kebijaksanaan semata-mata, tetapi disiplin diri yang konsisten.
“Kejayaan tidak bergantung kepada mood belajar sahaja tetapi memerlukan sikap yang berdisiplin dan tidak mudah berputus asa,” katanya.
Dalam usaha memperbaiki prestasi akademik, Christina turut mengamalkan beberapa pendekatan yang dipelajari dari kakaknya.
Antaranya ialah menyediakan senarai semak pembelajaran, membaca bahan rujukan secara konsisten dan meneliti contoh jawapan peperiksaan lepas yang disediakan melalui portal Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Selain itu, dia juga menganalisis kesilapan dalam kertas peperiksaan terdahulu untuk mengenal pasti kelemahan teknik menjawab dan memperbaikinya dari semasa ke semasa.
Selepas ini, Christina berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pilihan utama.
Dia juga berharap dapat memperoleh tajaan biasiswa untuk membantu meringankan beban keluarganya dan membolehkannya memberi fokus sepenuhnya kepada pengajian.
Mengakhiri perkongsiannya, Christina berpesan kepada pelajar lain agar tidak terlalu bergantung kepada motivasi semata-mata dalam mengejar kejayaan.
“Motivasi tidak kekal tetapi disiplin diri yang kukuh mampu mendorong kita untuk tetap belajar walaupun berasa penat dan malas.
“Selain itu, kenal pasti kaedah pembelajaran yang serasi dengan diri sendiri kerana setiap individu mempunyai cara berfikir yang berbeza,” katanya.
