SMK Pamol Raih Empat Pingat Emas, Anugerah Terbaik di ITEX 2026

Gambar SMK Pamol Won ITEX

KUALA LUMPUR: 12 Jun 2026 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol, Beluran mencipta kejayaan cemerlang di Pertandingan Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2026 apabila meraih empat pingat emas dan satu Anugerah Khas Peringkat Sekolah Menengah pada 20 Mei lalu.

Kesemua empat projek inovasi yang dipertandingkan sekolah itu berjaya memperoleh pingat emas dalam pertandingan berprestij yang menghimpunkan inovator, penyelidik dan pencipta dari pelbagai negara.

Projek P-COCA yang dibimbing oleh Faridah Pickly turut dinobatkan sebagai penerima Best Invention Award Secondary School 2026, sekaligus muncul antara inovasi terbaik dalam kategori sekolah menengah pada edisi ke-37 pertandingan tersebut.

Tiga lagi inovasi sekolah iaitu ESL, D2F-TECHNO dan SECRET SPONGE masing-masing menyumbang pingat emas kepada kontinjen SMK Pamol.

Kejayaan itu membuktikan kemampuan murid dan guru dari kawasan pedalaman menghasilkan inovasi berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, seterusnya menunjukkan bahawa sekolah luar bandar juga berupaya melahirkan bakat dalam bidang sains, teknologi dan reka cipta.

Pihak sekolah menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai hasil komitmen berterusan seluruh warga sekolah dan sokongan padu pelbagai pihak yang memberi kepercayaan terhadap potensi murid untuk menyerlah dalam bidang inovasi.

Kementerian Belia dan Sukan Sabah menjadi penyumbang dana utama untuk membolehkan pasukan sekolah menyertai pertandingan berkenaan.

Pengurusan sekolah merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), koperasi sekolah, ibu bapa termasuk semua pihak yang memberikan bantuan kewangan, sokongan moral dan logistik sepanjang tempoh persediaan dan penyertaan pertandingan.

Kejayaan tersebut turut didorong oleh usaha Pengurus Pasukan, Siti Noraini Mislihan, bersama barisan guru pembimbing terdiri daripada Nor Azlina Kamarudin, Wan Manisah Wan Mohamad, Muhammad Faiz Hazwan A. Wahab, Ivette Lynn Jikim dan Faridah Pickly.

Sinergi antara sekolah, komuniti dan agensi kerajaan mampu melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Sabah dalam bidang inovasi dan teknologi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal