KOTA KINABALU: 5 September 2026 — Sabah International Expo 2026 (SIE2026) menarik penyertaan dari 15 negara dengan sasaran sehingga RM10 juta nilai jualan dan transaksi perniagaan sepanjang tiga hari penganjuran.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata penyertaan itu menunjukkan minat komuniti perniagaan antarabangsa terhadap Sabah.
“Penyertaan antarabangsa ini merupakan petunjuk kukuh terhadap minat yang semakin meningkat terhadap Sabah sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SIE2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
SIE2026 menyediakan 300 reruai dengan kira-kira 35 peratus daripadanya melibatkan pempamer antarabangsa, termasuk dari rantau BIMP-EAGA.
Antara negara yang menyertai ialah Australia, Brunei, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.
Kira-kira 10,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung dijangka hadir sepanjang pameran sehingga Ahad ini.
SIE2026 turut memberi tumpuan kepada rantau BIMP-EAGA menerusi Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Industri Halal BIMP-EAGA Ke-3 yang menghimpunkan kira-kira 300 delegasi.
Program lain termasuk Sabah International Business Luncheon Talk yang menampilkan Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah, kepada kira-kira 700 peserta.
Ewon berkata Sabah mahu mengukuhkan kedudukan sebagai pintu gerbang ke Borneo dan penghubung kepada BIMP-EAGA untuk membuka akses perniagaan ke pasaran serantau dan antarabangsa.

