KOTA KINABALU: 20 Ogos 2026 – Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Sabah 2026 (SHOAS2026) bakal menghimpunkan pemimpin Orang Asal, golongan muda, pengamal budaya, pemegang ilmu tradisi, pemikir, aktivis selain komuniti dari seluruh Borneo di Sabah, 21 hingga 23 Ogos ini.
Persidangan utama bersama program kebudayaan akan berlangsung pada Sabtu, 22 Ogos di Koisaan Cultural Village, KDCA Penampang.
Tahun ini, SHOAS2026 mengangkat persoalan masa depan Orang Asal dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, perubahan ekonomi pesat yang terus mengubah masyarakat dunia.

Persoalan utama ialah keupayaan Orang Asal memasuki masa depan tanpa kehilangan ilmu, identiti, hak mahupun asas kebudayaan yang dipertahankan sejak turun-temurun.
Pengerusi Main International Conference Committee (MICC), Andrew Ambrose @ Atama Katama berkata, masa depan Orang Asal perlu dilihat melalui kesinambungan antara generasi.
Katanya, melindungi kehidupan turut bermaksud mempertahankan ilmu, bahasa, tradisi, wilayah, nilai di samping hubungan sosial yang memastikan komuniti Orang Asal terus bertahan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
“Anak muda kita sudah hidup dalam zaman AI, teknologi digital dan hubungan global. Mereka mesti berada dalam perbincangan mengenai masa depan,” katanya.
Menurut Atama, Orang Asal tidak seharusnya dilihat sebagai masyarakat yang terperangkap dalam masa lalu kerana sistem pengetahuan mereka mungkin berusia ratusan malah ribuan tahun, namun masyarakat itu sentiasa berkembang.

Anak muda Orang Asal hari ini ialah pencipta kandungan, seniman, penyelidik, usahawan, aktivis, penggerak komuniti, malah bakal pemimpin.
“Persoalannya bukan sama ada mereka akan memasuki dunia digital kerana mereka sudah berada di dalamnya, tetapi sama ada mereka melangkah ke masa depan dengan identiti kukuh, kesedaran terhadap hak budaya, di samping keyakinan mempertahankan kepentingan masyarakat,” katanya.
SHOAS2026 tidak melihat tradisi dengan teknologi sebagai dua perkara yang bertentangan. Anak muda Orang Asal perlu memahami AI tanpa kehilangan identiti, manakala komuniti perlu menggunakan teknologi digital tanpa menyerahkan hak milik terhadap ilmu tradisi.
Bahasa Orang Asal juga perlu memasuki ruang digital tanpa terputus dari masyarakat yang mencipta untuk mempertahankannya. Kemajuan pembangunan pula tidak seharusnya menjadikan kehilangan identiti sebagai harga yang perlu dibayar oleh Orang Asal.
“Kamu boleh bangga dengan identiti tradisi sambil memahami AI, bertutur dalam bahasa ibunda sambil menguasai teknologi baharu, mempertahankan adat sambil membina ekonomi baharu, dalam masa yang sama menghormati nenek moyang sambil mencipta sesuatu untuk generasi akan datang,” kata Atama.
Dalam era AI, persoalan mengenai pemilikan, rakaman, pendigitalan, keuntungan dan penggunaan ilmu Orang Asal menjadi semakin penting.
Tema antarabangsa 2026 turut memberi dimensi penting apabila bidan Orang Asal mengingatkan bahawa ilmu tidak semestinya terkandung dalam buku, universiti atau institusi formal.
Sebahagian besar ilmu Orang Asal terus hidup melalui manusia, hubungan kekeluargaan, pengalaman, tradisi lisan melalui amalan masyarakat.
Atas sebab itu, SHOAS2026 memberi perhatian kepada penglibatan Orang Asal dalam perbincangan meliputi data, representasi digital, harta intelek, pengetahuan budaya hingga kecerdasan buatan (AI).
Teknologi boleh menjadi alat untuk pemeliharaan bahasa, pendidikan, dokumentasi budaya, pemantauan alam sekitar, keusahawanan Orang Asal, yang paling penting adalah komunikasi antara komuniti turut terjaga.
Namun, teknologi tidak seharusnya menjadi saluran baharu untuk ilmu Orang Asal diambil, dikomersialkan atau digunakan tanpa persetujuan atau manfaat kepada masyarakat yang memilikinya.
Anak muda turut diberi peranan penting dalam SHOAS2026 melalui usaha mendokumentasi, merakam gambar, menghasilkan video, bertanya soalan, mencipta kandungan, berbahas malah dapat menyebarkan mesej persidangan melalui rangkaian digital sendiri.
Generasi baharu semakin menggunakan telefon pintar, media sosial, arkib digital, podcast, video, termasuk teknologi kreatif untuk mendefinisikan diri mereka dengan suara sendiri.
“Arkib Orang Asal masa depan mungkin berbentuk digital, kelas bahasa boleh berlangsung dalam talian, manakala usahawan Orang Asal boleh menggunakan AI. Namun, teknologi mesti kekal sebagai alat di tangan kita, bukan pemilik pengetahuan kita,” kata Atama.
Program utama SHOAS2026 bermula seawal 6.30 pagi pada Sabtu, 22 Ogos dengan perarakan kebudayaan diketuai oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dari Borenos Bandar Baru Penampang menuju ke KDCA.
Perarakan itu membuka tirai program sehari yang menggabungkan budaya Orang Asal, upacara adat, dialog, kepimpinan dan solidariti serantau Borneo.
Program pembukaan turut menampilkan unsur tradisi, kerohanian, persembahan kebudayaan, doa, ritual Bobohizan, kepimpinan adat, dan penyertaan wakil dari seluruh Borneo.
Antara tokoh yang dijadualkan terlibat ialah Dr. Drs. Marthin Billa, M.M., Presiden Majelis Adat Dayak Nasional, Indonesia; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak; manakala Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Presiden Borneo Dayak Forum.
Antara isu yang akan disentuh ialah hak Orang Asal, UNDRIP, pembangunan mampan, ekonomi Orang Asal, aset kebudayaan, tadbir urus adat, identiti, komuniti sempadan, teknologi, turut di beri perhatian termasuk AI.
SHOAS2026 turut menjadi titik pertemuan antara generasi tua dengan muda, tradisi dengan inovasi, dan menghubungkan Sabah dengan dunia Orang Asal Borneo yang lebih luas.
Penganjur mengalu-alukan penyertaan komuniti Orang Asal, organisasi belia, mahasiswa, pencipta kandungan, ahli akademik, pertubuhan kebudayaan, masyarakat sivil, pengamal media bersama orang ramai dalam program utama di KDCA.
“Datang dengan identiti, soalan, idea, budaya sebagai suara generasi. Masa depan Orang Asal tidak seharusnya direka tanpa Orang Asal sendiri,” kata Atama.
Tema SHOAS2026 ialah “Indigenous Peoples and AI: Shaping Our Future and Defending Our Rights Through Borneo Dayak Unity and Solidarity.”
Penganjur menegaskan cabaran generasi hari ini ialah membawa warisan Orang Asal ke masa depan, memperkukuh solidariti Borneo untuk memastikan masyarakat itu bukan sekadar pemerhati kepada perubahan dunia, tetapi kekal sebagai penentu, pencipta mahupun pengarang masa depan mereka sendiri.
Sumber: Media & Publisiti, Main International Conference Committee (MICC), SHOAS2026.

