TAWAU: 20 Sept 2026 — Sheron Sariman mempertahankan kejuaraan kategori Lelaki Terbuka 28 kilometer (km) Tropical Rainforest Run 2026 di Taman Bukit Tawau hari ini.
Sheron mencatat masa 3 jam 10 minit 24 saat untuk muncul juara, sekali gus mengulangi kejayaan pada edisi sebelumnya.
“Ada jangkaan untuk saya mengekalkan rentak kemenangan. Saya gembira dapat meraih kemenangan sekali lagi tahun ini.
“Persediaan saya tidak begitu menyeluruh kerana jerebu teruk di Sabah, tetapi saya terus melakukan larian ringan setiap minggu untuk mengekalkan momentum,” katanya.
Beliau berkata dia sangat menyukai perlumbaan itu dan akan mengesyorkannya kepada pelari denai baharu.
Sinapilin Sarawi muncul juara kategori Wanita Terbuka 28 km dengan catatan 5 jam 8 minit 45 saat, manakala Sapin@Sapirin Bin Sumping@Jemari menjuarai kategori Lelaki Veteran dengan masa 3 jam 24 minit 28 saat.

Edisi tahun ini turut memperkenalkan kategori baharu 10 km, dengan Donal Ronaldi Lasius menjuarai kategori Lelaki Terbuka dengan catatan 53 minit 58 saat, manakala Noor Arina Hamid muncul juara kategori Wanita Terbuka dengan masa 1 jam 20 minit 34 saat.

Laluan 28 km bermula dengan pendakian curam ke arah Gunung Lucia sebelum peserta melalui laluan hutan hujan yang mempunyai akar pokok dan permukaan teknikal.

Laluan itu turut diiktiraf Persatuan Larian Denai Antarabangsa (ITRA) dan menawarkan mata larian denai antarabangsa kepada peserta yang layak.
Acara itu menghimpunkan pelari dari Indonesia, Itali, Malaysia, Filipina, Thailand, Kenya, China, Hong Kong dan Jepun.
Tropical Rainforest Run 2026 dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah menerusi Sri Pelancongan Sabah Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Tourism Malaysia.

