KINABATANGAN: 14 Julai 2025 – Barisan Nasional (BN) Sabah telah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemilihan calon dibuat berdasarkan kemampuan mereka untuk menang dan diterima oleh masyarakat setempat, bukan sekadar hubungan peribadi atau kedudukan dalam parti.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses pemilihan calon dilakukan dengan teliti bersama Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak selaku Pengarah Pilihan Raya BN Sabah.
Mengulas isu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berhasrat bertanding secara solo, Bung Moktar menyifatkan langkah itu sebagai pilihan politik masing-masing, namun berharap keputusan dibuat secara tegas dan tidak berlarutan.
“Kalau sudah buat keputusan, teruskanlah. Tidak perlu tunggu lama. PBS, STAR, PBRS dan lain-lain itu parti kecil. Kalau mahu pergi solo, pergilah,” katanya.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa BN Sabah akan tetap fokus untuk menawarkan calon berkaliber yang mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukan sekadar untuk mengisi kerusi.
PRN Sabah kali ini dijangka menjadi medan ujian penting bagi gabungan dan parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri berkenaan, dengan tumpuan utama kepada siapa yang mampu tampil sebagai pilihan utama rakyat.
Sumber: Sabah News Today