KOTA KINABALU: 1 Nov 2026 – Golongan memerlukan di Sabah menerima sumbangan kebajikan berjumlah RM200,000 dari Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) menerusi SEC Charity Golf Tournament 2026 di Sutera Harbour Golf & Country Club, kelmarin.
Dari jumlah itu, RM150,000 akan disalurkan ke Yayasan Kebajikan Sabah, manakala RM50,000 akan disalurkan ke badan kebajikan di Sabah yang akan dikenal pasti kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir. Adzmir Abd Rahman, berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan masyarakat selaras dengan tema kejohanan, “Swing with Purpose. Drive for Impact.”

“Bagi SEC, tanggungjawab membangunkan Sabah turut merangkumi kesejahteraan rakyatnya. Kita mahu kemajuan yang diusahakan membuka peluang dan membawa kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada kejohanan itu.
Menurutnya, SEC turut menyumbang melalui inisiatif pendidikan, kebajikan dan alam sekitar mengikut keperluan masyarakat. Ia termasuk keluarga yang memerlukan bantuan keperluan asas, peluang pendidikan anak-anak dan mangsa yang membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah.
“Bantuan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan mereka, disampaikan dengan menjaga maruah penerima dan diurus dengan penuh tanggungjawab,” tambahnya.
Adzmir memberi jaminan setiap sumbangan akan diuruskan secara bertanggungjawab dan disalurkan mengikut tujuan kebajikan yang ditetapkan.
“Setiap sumbangan ialah amanah. Kami menghargai kepercayaan ini dan komited untuk memastikan sumbangan yang diterima diurus dengan bertanggungjawab dan disalurkan untuk tujuan kebajikan yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja Platinum, Sepangar Bay Power Corporation Sdn. Bhd., penaja Gold iaitu Supreme LNG, Gamuda dan Sistem Konsult Sdn. Bhd., penaja Silver, penyumbang, peserta dan semua pihak yang menjayakan kejohanan itu.
Sumber: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC)

