SDG Bersasar Jadi Pemangkin Penyelesaian Isu Kesihatan, Pendidikan dan Ekonomi Telupid

Gambar Datuk Dr. Jonnybone SDG Telupid

TELUPID: 14 Disember 2025 – Kerajaan Negeri dan Persekutuan komited memastikan pendekatan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dilaksanakan secara lebih bersasar dan berfokus di Telupid, khususnya bagi menangani isu kritikal melibatkan kesihatan, pendidikan, ekonomi luar bandar dan jurang digital.

Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum berkata, penganjuran Karnival SDG Bersasar Negeri Sabah 2025 di daerah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk turun ke lapangan, mendengar suara rakyat serta memastikan dasar pembangunan diterjemahkan kepada tindakan nyata yang dirasai komuniti setempat.

Menurut beliau, Telupid mempunyai potensi besar sebagai hab sosioekonomi pedalaman, namun berdepan cabaran struktur yang memerlukan intervensi tepat, termasuk kadar kematian ibu bersalin yang tinggi, keperluan memperluas akses pendidikan dan TVET, pengukuhan ekonomi luar bandar serta masalah liputan internet yang tidak seimbang.

Sehubungan itu, karnival berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, pihak kesihatan, NGO dan pemain ekonomi bagi menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat, sekali gus mengurangkan jurang birokrasi serta memastikan penyelesaian lebih pantas dan berfokus. Program berkenaan turut menyediakan sesi perkongsian dan libat urus bersama komuniti bagi mengenal pasti keperluan sebenar rakyat Telupid.

Beliau menegaskan, kejayaan pembangunan mampan tidak boleh digalas kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan agensi pelaksana, pemimpin akar umbi, belia, pendidik, usahawan dan komuniti setempat. Pendekatan “whole-of-society” itu menjadi asas memastikan prinsip “Tiada Siapa Yang Tertinggal” dapat direalisasikan secara berterusan.

Pada majlis berkenaan, Datuk Dr. Jonnybone merasmikan Karnival Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar Negeri Sabah 2025 Peringkat Daerah Telupid, sambil menyatakan keyakinan bahawa sinergi yang terjalin mampu membawa Telupid ke arah pembangunan yang lebih inklusif, sejahtera dan mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal