Oleh David E.
Di sebalik kemegahan mahkota dan gemersik tepukan, tersimpan sebuah pengakuan jujur dari jelmaan Huminodun 2025, Tati Atitih Yatih Robert, bahawa tugas sebagai Unduk Ngadau ialah memikul amanah yang luar biasa.
Dalam wawancara khas bersama TV Sabah sempena kemuncak Pesta Kaamatan 2026, Atitih yang bakal menamatkan tempohnya berkongsi pengalaman, cabaran dan pesanan mendalam untuk penggantinya kelak.
Cabaran Terbesar: Berlawan Dengan Diri Sendiri
Sepanjang setahun bergelar Unduk Ngadau, Atitih mengakui tugas paling mencabar adalah perlu membuat persembahan di hadapan khalayak ramai seolah-olah Unduk Ngadau itu seorang artis atau penyanyi.
“Walaupun pemalu, saya percaya setiap tanggungjawab perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Latihan, persediaan rapi, dan doa membantu saya mengatasi gemuruh dan menjadikan pengalaman tersebut sebagai peluang memperbaiki diri,” ujarnya.

foto oleh David E.
Momen Terindah: Bertemu Pelbagai Lapisan Masyarakat
Tiada satu momen pun yang tidak indah, menurut Tati. Walaupun penat dan tertekan, pengalaman berjumpa, berinteraksi dan bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Sabah menjadi kenangan paling berharga.
“Bukan semua orang biasa seperti saya berpeluang merasainya. Perkara paling berharga yang saya pelajari tentang diri sendiri ialah apabila kita ikhlas menerima segala yang berlaku, betapa pun sukarnya, pasti akan hadir kebaikan selepas itu,” ujarnya dengan nada syukur.
Makna Sebenar Kaamatan: Bukan Milik Satu Kaum
Atitih mendapati bahawa di mana sahaja beliau berada, sama ada di Sabah mahupun di Semenanjung, masyarakat pelbagai kaum seperti Cina, India, Melayu dan KDMR sentiasa mesra dan berkongsi cerita tentang Pesta Kaamatan.
“Ini menunjukkan bahawa Kaamatan bukan sahaja milik satu kaum, tetapi telah menjadi kebanggaan bersama,” tegasnya.
Ketika berkata tentang sentuhan emosi, Atitih berkata, “Perasaan paling kuat yang saya rasai ialah kekaguman terhadap keindahan adat dan budaya warisan nenek moyang kita. Namun, di saat yang sama, saya berasa sayang dan sedih kerana warisan yang begitu bernilai ini boleh dilupakan begitu sahaja akibat arus pemodenan.”
Pesanan Untuk Unduk Ngadau 2026: “Saya Bukan Queen, Saya Bukan Puteri”
Dalam pesanan paling menyentuh hati buat penggantinya, Atitih berpesan:
“Tanamkanlah dalam hati bahawa, ‘Saya bukan queen dan saya bukan puteri.’ Kerana kita hanyalah wanita biasa yang dipilih untuk memikul amanah yang luar biasa.
“Kita adalah penggerak budaya, suara yang berusaha memastikan tradisi nenek moyang terus hidup dan relevan walaupun dunia semakin berubah.
“Mungkin tiada lagi gemuruh sorakan seperti ketika nama kita dipanggil di pentas Unduk Ngadau. Namun, jangan pernah berhenti memerpjuangkan apa yang telah dimulakan. Cukuplah kita melakukannya dengan hati yang ikhlas,” pesannya.
Beliau mengingatkan bahawa selepas sorakan di atas pentas hilang dan lampu dipadamkan, perjalanan sebenar baharu bermula.

Nasihat: Jagalah Diri, Jagalah Maruah Gelaran
Atitih turut menasihati penggantinya supaya sentiasa menjaga diri sebagaimana menjaga maruah gelaran yang disandang.
“Setiap tindakan dan tingkah laku anda akan menjadi cerminan kepada gelaran Unduk Ngadau itu sendiri,” katanya.
Selain kecantikan fizikal, beliau menekankan nilai pembawaan diri yang baik, kebijaksanaan berinteraksi, mengetahui batas pergaulan, berdikari seiring dengan kekuatan mental, fizikal dan emosi yang tinggi.
Harapan Untuk Masa Depan
Atitih berharap Unduk Ngadau 2026 mampu membawa gelaran ini ke tahap lebih tinggi dengan penambahbaikan dan pembaharuan mengikut peredaran masa.
“Setiap generasi mempunyai kekuatan tersendiri,” ujarnya optimis.
Akhir kata, beliau menyampaikan ucapan terima kasih dalam bahasa Kadazandusun kepada semua pihak yang telah memberi sokongan sepanjang perjalanannya.
Pason di Atitih
Id kosiwatan diti, mamason oku kounsikou di au gigina mantad saralom ginawoku kumaa pointongkop AJK Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah om Peringkat Daerah Tuaran montok sokodung om kosiwatan it tinahak kumaa doho solinaid sontoun diti.
Kumaa paganakan di koupusan ku, mamason oku da do kounsikou tadala kopio minanahak kou do kagarasan kumaa doho mantad di timpuun tindalanon ku sabaagi do Unduk Ngadau gisom no do tadau di baino. Om oilaan ku, otilombus kasari o sokodung dokoyu kumaa doho.
Insan po kawagu pounsikou kumaa toinsanan ie minanahak sokodung om kosiwatan kumaa doho minamanau iti panau it olumis tomod. Om alansan oku da do iti goos dati do mantamong om popoimagon diti koubasanan tinaru kakal do poingompus.
Kotobian om kounsikahan tadau tagayo do Kaamatan – TV Sabah News
