Di sebalik kekurangan bekalan elektrik dan capaian internet, seorang anak petani dari Kampung Penangah, Tongod berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), membuktikan bahawa kejayaan tidak mengenal sempadan geografi.
Oleh: Ray Bull
TONGOD: Di celah kehijauan hutan dan jalan berbukit di pedalaman Tongod, seorang anak sulung lima beradik telah mencipta sejarah selepas muncul sebagai pelajar cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 di SMK Penangah.
Filadelfiana Endrus, 20, yang berasal dari Kampung Alitang, mengakui keputusan itu melampaui jangkaannya, memandangkan STPM sering dianggap sebagai antara peperiksaan pra-universiti yang paling mencabar di negara ini.
“Apabila mengetahui saya memperoleh PNGK 4.00, saya benar-benar gembira dan bersyukur kepada Tuhan. Sejujurnya, saya sendiri tidak percaya kerana STPM bukan peperiksaan yang mudah. Tuhan memberikan hasil yang jauh lebih baik daripada apa yang saya harapkan,” katanya kepada TV Sabah.
Pengorbanan keluarga
Bapa Filadelfiana merupakan seorang petani manakala ibunya suri rumah. Walaupun kehidupan mereka serba sederhana, ibu bapanya tidak pernah membiarkan kekangan kewangan menjadi penghalang kepada pendidikan anak-anak.

Orang pertama yang dihubunginya selepas keputusan diumumkan ialah ibu dan bapanya.
“Saya mahu mereka tahu bahawa segala usaha saya selama ini adalah untuk membuat mereka bangga,” ujarnya.
Sebagai anak sulung, Filadelfiana sedar akan tanggungjawabnya terhadap empat adik yang masih bersekolah. Beliau menggunakan wang biasiswa untuk membayar beberapa keperluan pengajian untuk meringankan beban keluarganya.
Rutin disiplin dan cabaran asrama
Oleh kerana rumahnya jauh dari sekolah, Filadelfiana tinggal di asrama. Seusai sesi persekolahan sekitar jam 2.30 atau 3 petang, beliau akan mengulang kaji sehingga jam 5.30 petang sebelum berehat dan makan malam.
Pada waktu malam, beliau menyambung pembelajaran dari jam 8 hingga sekitar 10.30 atau 11 malam. Berbeza dengan kebanyakan pelajar yang berjaga sehingga lewat malam, Filadelfiana memilih untuk berehat awal dan bangun semula pada jam 3 pagi untuk mengulang kaji sehingga waktu subuh.
Baginya, disiplin menguruskan masa lebih penting berbanding tempoh belajar semata-mata.
Kekurangan elektrik dan internet
Antara cabaran terbesar yang dihadapi Filadelfiana ialah kekangan infrastruktur asas di kawasan pedalaman. Sekolahnya hanya bergantung kepada bekalan elektrik dari generator dan sistem solar.
Apabila berlaku gangguan bekalan minyak atau masalah pada sistem solar, lampu di kawasan sekolah hanya mampu bertahan sehingga tengah malam.
“Pernah suatu ketika dahulu, saya menggunakan cahaya telefon bimbit untuk belajar pada awal pagi sebelum mengambil inisiatif membeli lampu belajar sendiri demi menjaga kesihatan mata,” katanya.
Masalah capaian internet yang kadangkala terputus sehingga hampir sebulan juga tidak mematahkan semangatnya.
“Saya gunakan semua buku yang saya ada untuk mengulang kaji. Bagi saya, kekurangan internet bukan alasan untuk berhenti belajar,” tegasnya.
Sokongan ibu bapa menjadi sumber kekuatan
Bagi Filadelfiana, bapanya merupakan insan yang paling banyak berkorban.
“Apabila saya memerlukan wang, bapa akan berusaha memberikannya tanpa pernah merungut. Ketika saya memerlukan meja belajar, beliau yang membuatnya sendiri menggunakan papan biasa dengan kemahiran yang dimilikinya,” katanya.
Ibunya pula sanggup mengambil alih kerja-kerja rumah supaya anak sulungnya mempunyai lebih banyak masa untuk belajar.
“Jika mereka berada di hadapan saya sekarang, saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kerana tidak pernah mengalah demi pendidikan kami. Kejayaan ini saya hadiahkan kepada mereka berdua. Saya berharap suatu hari nanti saya mampu mengubah kehidupan keluarga kami,” ujarnya dengan nada terharu.
Ketabahan mengatasi tekanan
Filadelfiana mengakui pernah berdepan dengan tekanan perasaan sehingga menangis di hadapan pengetua, pensyarah dan rakan-rakan.
“Ada masanya saya benar-benar ingin berputus asa. Tetapi pensyarah selalu bertanya, ‘Apa tujuan kamu masuk Tingkatan Enam?’ Soalan itu sentiasa saya ingat setiap kali semangat mula luntur,” katanya.
Beliau turut mengingatkan dirinya sendiri: “Kalau bukan saya yang berusaha mengubah keadaan, sampai bila nasib keluarga kami akan berubah?”
Pengorbanan semasa cuti perayaan
Kenangan paling sukar dilupakan Filadelfiana ialah ketika cuti Krismas sebelum semester tiga. Walaupun suasana perayaan sibuk, beliau tetap berpegang pada jadual ulang kajinya dan hanya memperuntukkan dua hari untuk berehat.
Begitu juga ketika cuti Tahun Baharu Cina, beliau bersama beberapa rakan memilih untuk terus tinggal di asrama untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Impian masa depan
Selepas mencatat keputusan sempurna dalam STPM, Filadelfiana bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Lebih dari itu, beliau mahu membina sebuah rumah yang lebih selesa untuk keluarganya sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka.
Baginya, kejayaan bukanlah tentang mengatasi orang lain.
“Kejayaan ialah apabila kita menjadi lebih baik daripada diri kita semalam. Saya pernah memperoleh PNGK 2.83. Hari ini saya memperoleh PNGK 4.00. Jika saya mampu berubah, saya percaya orang lain juga mampu melakukannya,” katanya.
Pesanan kepada generasi muda
Kepada pelajar lain, khususnya mereka yang berasal dari kawasan pedalaman, Filadelfiana menitipkan pesanan agar sentiasa percaya kepada diri sendiri, mengabaikan kata-kata negatif dan tidak pernah berhenti berdoa.
“Percayalah bahawa Tuhan mempunyai rancangan terbaik untuk setiap orang. Jangan mudah berputus asa. Selagi masih diberi peluang, teruskan berusaha kerana setiap hari adalah ruang untuk menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Di sebalik angka 4.00 yang terpampang pada slip keputusan STPM, tersimpan kisah seorang anak pedalaman yang memilih untuk tidak menyerah kepada keadaan, sebaliknya menjadikan setiap kekurangan sebagai alasan untuk bekerja lebih keras, sekali gus membuktikan bahawa impian besar mampu lahir dari sebuah kampung kecil di pedalaman Sabah.

