SANDAKAN: 6 September 2025 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hadir bersama ribuan umat Islam pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang berlangsung meriah di Sandakan pada 5 September 2025.
Dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook beliau, katanya acara itu bukan sekadar perayaan, tetapi menjadi medan penting untuk memperkukuh kefahaman umat terhadap perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW.
Peringatan sempena sambutan ini menekankan bahawa sirah Nabi tidak wajar dilihat hanya melalui perarakan atau ungkapan kata, sebaliknya perlu dizahirkan dalam kehidupan harian melalui amalan keimanan, keadilan, serta semangat perpaduan.

Tambahnya keberhasilan Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah berasaskan toleransi dan kebersamaan dijadikan rujukan penting bagi Sabah yang berbilang etnik dan agama.
Nilai tersebut diyakini mampu menjadi teras keharmonian dan kemajuan negeri.
Hajiji juga menegaskan dalam kenyataanya, semangat kebersamaan yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah asas yang perlu dipertahankan untuk membawa kemajuan kepada negeri Sabah.
Selaras dengan tema “Membangun Ummah Madani”, kerajaan negeri turut menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan pendidikan agama, memperkasa belia dan wanita, serta memperluas penganjuran sambutan Maulidur Rasul ke daerah-daerah utama agar syiar Islam terus berkembang di seluruh pelusuk negeri.

