KOTA KINABALU: 24 Mac 2026 – Orang ramai dijemput menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 28 Mac, Sabtu ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majlis yang bermula seawal jam 10 pagi itu dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
Menurut beliau, sambutan berkenaan akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Ketua Menteri, Hajiji Haji Noor; dan barisan kepimpinan negeri.
Pelbagai pengisian telah dirancang, termasuk penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan rumah kebajikan, selain persembahan artis tempatan bagi memeriahkan suasana.
Katanya, penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.
Sambutan itu juga mencerminkan rasa syukur terhadap keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat negeri ini, selain menjadi simbol permulaan kepada agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Dalam pada itu, sebanyak 71 vendor bersama 15 hotel akan terlibat dalam penyediaan juadah, sekali gus menawarkan pelbagai pilihan makanan kepada pengunjung dan membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengamalkan kesederhanaan ketika menyambut Aidilfitri, selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan supaya mengelakkan pembaziran dan berbelanja secara berlebihan.
Sumber: Jabatan Penerangan Sabah
