Sabah Screen Talent Kids lahirkan pelapis baharu industri seni lakon

KOTA KINABALU :18 September 2025 – Program Sabah Screen Talent Kids Siri 1/2025 berjaya memberi pendedahan awal mengenai dunia lakonan skrin sekali gus melahirkan pelapis baharu dalam industri seni lakon negeri.

Seramai 17 kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun menyertai program bertemakan “Imagination on Screen” itu yang berlangsung di Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program anjuran Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS) ini menekankan pembinaan keyakinan diri, kreativiti dan ekspresi peserta melalui bengkel interaktif serta pertandingan pendek.

Aktiviti yang dijalankan merangkumi sesi ice breaking, eksplorasi suara dan gerak, latihan improvisasi, asas bahasa tubuh di hadapan kamera serta penghasilan reels lakonan secara solo dan berpasangan.

Majlis perasmian disempurnakan Presiden Persatuan Filem dan Video Sabah (SAFVA), Chester Pang, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah, Suzzane Lujain Bingkasan, yang memberikan sokongan moral kepada peserta.

PBSS merancang untuk meneruskan siri seterusnya bagi membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak mengasah bakat di hadapan kamera.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal