Tuesday, December 24, 2024

Sabah kawal sepenuhnya sumber tenaga mulai tahun depan: Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama rajyat di Majlis Jamuan Malam Sesi Bertemu Rakyat di Dewan SK Kung Ming, Tawau.

TAWAU: Sabah akan mempunyai kawalan penuh terhadap pengurusan sumber tenaga khususnya tenaga elektrik apabila Suruhanjaya Tenaga Sabah dibentuk pada tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Hajiji berkata, rang undang-undang yang akan memberi laluan kepada pembentukan suruhanjaya itu akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada April tahun depan.

“Dengan adanya suruhanjaya ini, Sabah akan mempunyai kawalan penuh terhadap pengurusan sumber tenaganya, khususnya tenaga elektrik.

“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan Kerajaan Negeri GRS-BN hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya di majlis jamuan malam sesi bertemu rakyat di Dewan Kung Ming SJK (C) di sini malam Selasa.

Bersama beliau ialah calon GRS-BN bagi Tawau, Lo Su Fui dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan).

Hajiji berkata, beberapa projek akan dimulakan tahun depan di daerah ini termasuk pembinaan Jalan Utara Tawau dan Loji Rawatan Air Cintamata Tawau bernilai RM400 juta. Dalam kebudayaan pula, akan turut membina Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC).

Paling penting, katanya adalah kesejahteraan rakyat dan Kerajaan Negeri telah berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik daripada sektor minyak dan gasnya melalui Petronas.

“Semua hasil ini akan disalurkan kembali kepada rakyat. Namun, tidak ada gunanya kita bercakap mengenai projek mega tetapi rakyat kekal miskin,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian beliau, Ketua Menteri yakin dengan peluang Lo dan Andi yang juga Adun Tanjung Batu pada pilihan raya 19 November ini.

Beliau berkata, kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional yang terjalin sebelum pilihan raya negeri 2020 dan merupakan cara terbaik untuk Sabah bergerak ke hadapan.

“Ini cara untuk kita membangunkan Sabah dan kerjasama ini mesti diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti,” katanya.

Hajiji juga menggesa pengundi Tawau supaya berhati-hati dan memilih wakil rakyat yang mementingkan kebajikan mereka.
Katanya, calon GRS-BN bagi Tawau.

Lo Su Fui dilahirkan dan dibesarkan di Tawau, jadi beliau amat memahami keperluan penduduk di sini.

Kira-kira 1,000 hadir majlis makan malam itu termasuk Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Arifin Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Adun Balung Datuk Hamil Awang dan pemimpin-pemimpin yang lain.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights