KOTA KINABALU: 15 Jun 2026 – Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan untuk tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya, sekaligus meletakkan Sabah pada kedudukan terbaik di seluruh negara.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin bin Jusoh dalam kenyataan media berkata berdasarkan statistik, seramai 9,207 orang dikesan pada tahun 2024 menurun kepada 8,665 orang pada tahun 2025.
Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kadar penagih dan penyalah guna dadah serta bahan seramai 230 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
“Kejayaan itu adalah bukti nyata keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah dan bahan terlarang di Sabah,” katanya.

Perkara tersebut dinyatakan ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor.
Mesyuarat itu meluluskan dua kertas pertimbangan untuk memastikan momentum penurunan ini berterusan ke arah sasaran Dadah Terkawal 2030, iaitu Perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Sektor Awam Negeri Sabah dan Pemerkasaan SKUAD Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan yang dibentang oleh AADK dan SKUAD Antidadah Negeri Sabah.
AADK memaklumkan program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) kini memfokuskan dua lokasi rintis di Sabah iaitu Kampung Likas, Kota Kinabalu dan Kampung Benoni, Papar sebagai langkah proaktif intervensi komuniti.
Inisiatif itu diperkukuhkan lagi menerusi pemerkasaan Program SKUAD Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah, yang membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah, dan komuniti setempat.
Tambah beliau, AADK juga giat menggerakkan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di peringkat nasional yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 16 Februari lepas menggunakan model kitaran tindakan strategik dua hala iaitu pendekatan ‘Top-Down’ dan ‘Bottom-Up’.
“Pendekatan hibrid ini bertujuan memobilisasikan komuniti secara total, sekali gus membina benteng pertahanan sosial bermula dari institusi keluarga bagi mengurangkan kebergantungan serta permintaan terhadap dadah atau bahan,” katanya.
AADK menaruh keyakinan tinggi bahawa komitmen padu kepimpinan Kerajaan Sabah akan menghasilkan keputusan konstruktif, praktikal dan berimpak tinggi demi memastikan Sabah dan Malaysia amnya bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara.
