SABAH ANTARA NEGERI REKOD KES MENTAL TERTINGGI
NILAM RAON
TAWAU: Sabah antara negeri tertinggi dari seluruh negara yang merekodkan prevalens kemurungan tertinggi iaitu sebanyak empat peratus pada tahun lepas.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr. Asits Sanna berkata, pihaknya juga telah menjalankan saringan kesihatan mental ke atas 40,522 individu dan hasilnya 107 orang dirujuk kepada pakar.
“Daripada lebih 40 ribu individu itu ada yang mengalami tekanan, keresahan dan kemurungan sebab itu di pihak JKNS kita melaksana pelbagai program untuk menangani, mengurangkan dan mencegah masalah mental di Sabah ini,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui media
pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2022 di Lobi Klinik Kesihatan Tawau, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman.
Katanya, antara program yang dilaksana JKNS adalah mengadakan program saringan mental di kampung-kampung, program bual bicara, promosi kesihatan mental di sekolah-sekolah dan perkhidmatan Talian Bantuan Sokongan Psikososial (MPHSS).
“Perkhidmatan MPHSS ini boleh dilaksanakan secara bersemuka dan secara online kerana kita ada pasukan di seluruh negeri.
“Untuk talian secara online ini kita telah aktifkan pada tahun 2020 sebanyak 12 talian dan kita telah tambah kepada 16 talian pada 2021 jadi semua boleh gunakan talian ini untuk dapatkan perkhidmatan berkaitan mental,”katanya lagi.
Jelasnya, data MPHSS yang dimulakan sejak Mac 2020 menunjukkan hampir 75 peratus dari keseluruhan panggilan yang diterima adalah dalam kalangan individu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling disebabkan pelbagai faktor.
-Tv Sabah News
0 Comments