Robert Paulus dilantik pemangku Ketua Bahagian STAR Bingkor

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) terus memperkukuh struktur kepimpinan di peringkat akar umbi apabila Robert Paulus secara rasmi menerima watikah perlantikan sebagai Pemangku Ketua Bahagian STAR Bingkor dari Presiden parti, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan dalam satu majlis khas yang berlangsung di Dewan Datuk Guandee Kohoi, Sokid Villa, ibu pejabat parti di Penampang Kota Kinabalu, Jumaat lalu.

Pelantikan tersebut diserahkan sendiri oleh Presiden parti dalam majlis yang turut dihadiri wakil bahagian lain termasuk dari DUN Tulid, Sook, dan Paginatan, sementara bagi DUN Liawan tiada pelantikan diumumkan pada majlis berkenaan.

Robert sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian STAR Bingkor sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 2013, dan kekal aktif dalam barisan kepimpinan parti di peringkat daerah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Bahagian STAR Bingkor, bahagian itu akan terus kekal menyokong penuh kepimpinan Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Presiden parti dan berpegang teguh kepada perjuangan asal STAR untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka Malaysia.

“Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden DSP Dr. Jeffrey Kitingan dan akan memastikan semangat perjuangan STAR terus hidup di Bingkor,” kata Robert Paulus sejurus menerima watikah tersebut.

STAR Bahagian Bingkor turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mengikuti jejak langkah mantan penyandang ADUN Bingkor merangkap Timbalan Presiden STAR, Datuk Robert Tawik, yang sebelum ini telah membuat keputusan untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama empat lagi wakil rakyat lain.

Dalam masa yang sama, pihak STAR Bingkor dan masyarakat setempat menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Datuk Robert Tawik atas jasa, sumbangan, dan keprihatinan beliau membangunkan DUN Bingkor sepanjang perkhidmatan nya sebagai wakil rakyat.

“Kami menghargai segala usaha beliau selama ini dalam membangunkan Bingkor. Namun kini, STAR Bahagian Bingkor akan terus bergerak ke hadapan dengan semangat baharu dan kesetiaan kepada perjuangan parti,” ujar Robert Paulus lagi.

Pelantikan ini menandakan permulaan fasa baharu bagi STAR di Bingkor — sebuah kawasan yang sering menjadi tumpuan dalam landskap politik pedalaman Sabah — menjelang kemungkinan pembubaran DUN dan Pilihan Raya Negeri ke-17 tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal