RM2 Juta Inisiatif Bank Rakyat Perkasa Komuniti dan Usahawan Sabah

KOTA BELUD: 12 Oktober 2025 – Komitmen Bank Rakyat terhadap pembangunan komuniti luar bandar dan keusahawanan terus diperkukuh menerusi penganjuran Mini Karnival Bank Rakyat di Kadamaian Square, Kota Belud yang menyaksikan agensi itu menyalurkan sumbangan bernilai hampir RM2 juta, memberi manfaat kepada lebih 4,300 penerima di Sabah.

Program dua hari yang bermula 11 Oktober itu menghimpunkan pelbagai inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat, termasuk bantuan pendidikan, sokongan keusahawanan serta aktiviti literasi kewangan yang disasarkan kepada masyarakat luar bandar dan golongan usahawan kecil.

Majlis penutupan rasmi disempurnakan hari ini oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang menyifatkan penganjuran tersebut sebagai wadah penting dalam memperluas akses kepada ilmu, bimbingan serta peluang ekonomi kepada masyarakat di luar kawasan bandar.

Antara sumbangan yang disalurkan termasuk inisiatif UNIpreneur berjumlah RM67,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperkukuh pembangunan usahawan mahasiswa, RAKYATpreneur bernilai RM10,000 bagi memperkasakan usahawan asnaf, dan BaktiRAKYAT sebanyak RM30,000 untuk menaik taraf laluan pejalan kaki di Hospital Kota Belud.

Selain itu, Bank Rakyat turut menyalurkan inisiatif Kebun Nuri Nutrisi bernilai RM19,825 kepada Sekolah Kebangsaan Narinang untuk projek tanaman hidroponik, serta sumbangan RM7,100 kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerusi inisiatif BR COMMUNI71, yang memberi manfaat kepada 71 warga emas dan ibu tunggal sempena ulang tahun ke-71 Bank Rakyat.

Bantuan tambahan turut diberikan kepada Masjid Kampung Siasai Dundau berjumlah RM11,000 serta Sekolah Kebangsaan Kuala Abai sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelajar asnaf.

Sementara itu, Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut menyalurkan bantuan pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta, dijangka memanfaatkan 3,503 pelajar di seluruh negeri. Ia merangkumi Bantuan Awal Pengajian Universiti Malaysia Sabah sebanyak RM100,000, Bantuan Awal Pengajian Program Ehsan@KUSKOP bernilai RM400,000, Tuisyen Rakyat Ehsan@KUSKOP sebanyak RM370,000, serta Bantuan Asrama Desa berjumlah RM659,000.

Dalam usaha memperkukuh keusahawanan kecil, Bank Rakyat turut menyerahkan cek cura Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) bernilai RM50,000 kepada lima usahawan tempatan yang terpilih.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata penganjuran Mini Karnival ini turut disertai pelbagai aktiviti melibatkan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia, TEKUN Nasional, Institut Koperasi Malaysia, UDA Holdings dan SME Bank.

Program selama dua hari itu turut dimeriahkan dengan reruai jualan MADANI, pameran keusahawanan, pertandingan mewarna Kelab Nuri, sesi derma darah dan taklimat produk kewangan bagi mendekatkan perkhidmatan Bank Rakyat kepada masyarakat.

Penganjuran Mini Karnival Bank Rakyat di Kota Belud ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan institusi kewangan itu dalam memperkasa ekonomi setempat melalui pendekatan inklusif, lestari dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Sumber: Siaran Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal