RM100 juta biasiswa (BSKN) pendidikan anak Sabah

WhatsApp Image 2026 07 30 at 4.07.14 PM 3

oleh David E.

KOTA KINABALU: 30 Julai 2026 – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta tahun ini untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS). Peruntukan ini memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian, terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata peruntukan itu menampung pelajar sedia ada dan tajaan baharu tahun 2026, membabitkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, sarjana muda, dan sarjana.

WhatsApp Image 2026 07 30 at 4.07.14 PM 2

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan jemputan lain bergambar bersama para penerima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah pada majlis anugerah siri ke 37 di Dewan Sipadan, Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Setakat ini, seramai 13,389 pelajar menerima tajaan BKNS. Hajiji menjelaskan bahawa kerajaan negeri serius memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

WhatsApp Image 2026 07 30 at 4.07.14 PM 4

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mesra bersama para penerima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah pada majlis anugerah siri ke 37 di Dewan Sipadan, Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memaklumkan, BKNS menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 60 orang.

Kerajaan negeri turut menawarkan beberapa skim utama, termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang, dan Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.

Yayasan Sabah pula meningkatkan jumlah penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang dari 40 ke 50 orang tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar Sabah.

Dalam sektor kesihatan, kerajaan memperluaskan peluang pendidikan dengan memilih 30 anak Sabah untuk mengikuti program pembangunan bakat. Program ini merangkumi Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi, dan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

Program itu hasil kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN), dan IJN University College melalui memorandum persefahaman yang dimeterai pada April lalu. Inisiatif ini selaras dengan keperluan Sabah menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan.

Pada masa sama, 15 anak Sabah sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi Yayasan Sabah dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan lain untuk meringankan beban pelajar dan keluarga. Hajiji memaklumkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan RM141.29 juta.

Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 pula membantu 15,629 penerima dengan peruntukan melebihi RM25 juta.

Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah menyalurkan bantuan pendidikan, termasuk yuran awal dan tiket penerbangan, dengan perbelanjaan lebih RM12.7 juta untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) meneruskan 14 inisiatif pendidikan sejak 2021, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY), dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Hajiji turut menyifatkan peningkatan prestasi pendidikan negeri sebagai petanda positif. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya. Ini kali pertama Sabah merekodkan GPN di bawah paras 5.00.

Beliau menggesa pelajar terus mengekalkan kecemerlangan dan menerokai bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan.

Sumber: Pejabat Media dan Komunikasi JKM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal