TUARAN: 11 Oktober 2026 — Resital vokal klasik bertajuk “Between Breath & Keys: Classical Voice Recital” di Fortissimo Music Studio, Tuaran, kelmarin.

Persembahan selama satu jam 30 minit itu menampilkan Rhowell Rolland selaku countertenor, Euler Edwin Majanil selaku pemain piano, Nathalia Athena selaku mezzo-soprano dan Aamanda Pearl selaku soprano.
Sepanjang konsert, para artis menyampaikan rangkaian karya muzik klasik Barat dalam pelbagai bahasa, termasuk Itali, Jerman, Perancis, Latin, Inggeris, Indonesia dan Tagalog.
Antara karya yang dipersembahkan ialah Caro Mio Ben, An Die Musik, L’heure Exquise, Ave Maria, Voi Che Sapete, Frühlingsglaube, Lagu Biasa, Derita, Canto Funebre, Aba Ginoong Maria, Rejoice Greatly, L’amour est un oiseau rebelle, Der Holle Rache dan Exsultate Jubilate.

Menurut penganjur, resital itu diadakan untuk memperkenalkan teknik nyanyian klasik dan seni itu dalam kalangan masyarakat pendengar yang lebih luas di Sabah. Mereka berharap teknik itu dapat diterapkan dalam genre nyanyian lain.
Mengenai latar belakang artis, Rhowell Rolland ialah pengetua dan guru di Fortissimo Music Studio, Tuaran. Beliau memegang Diploma Muzik dari ASWARA dan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Euler Edwin Majanil ialah pemain piano dan komposer dari Kota Kinabalu. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Muzik Komposisi dan Sarjana Muzik Persembahan dalam bidang piano.

Nathalia Athena ialah artis muda dari Kota Kinabalu yang aktif dalam pelbagai genre, termasuk klasik, jazz dan kontemporari. Beliau pernah memenangi tempat pertama KK Jazz Festival 2026 dan World Youth Singing Competition 2025.

Rakan gandingannya, Aamanda Pearl, 23 tahun, ialah soprano dari Sabah yang mula mengambil pelajaran vokal pada usia 15 tahun. Kini beliau menuntut dalam bidang Sains Akuakultur.


