KOTA KINABALU: 15 Jun 2026 – Penganjuran Regatta Lepa Semporna Kali Ke-31 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung sekali gus memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, acara tahunan yang sinonim dengan warisan masyarakat Bajau Semporna itu bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan negeri, malah memainkan peranan penting dalam mempromosikan keunikan budaya maritim Sabah kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, penganjuran kali ini mengangkat tema “Regatta Lepa: Pesona Budaya, Tarikan Dunia”, yang mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan warisan budaya sebagai aset pelancongan bernilai tinggi di peringkat global.
“Regatta Lepa bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, mempromosikan kepelbagaian budaya dan merancakkan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan dan industri kreatif,” katanya pada sidang media pelancaran Regatta Lepa Semporna 2026 di The Magellan Sutera Resort, hari ini.
Beliau berkata, perayaan yang bermula sebagai tradisi masyarakat Bajau untuk menghargai peranan perahu lepa sebagai pengangkutan utama suatu ketika dahulu kini berkembang menjadi acara kebudayaan bertaraf antarabangsa yang mendapat perhatian pencinta budaya dari seluruh dunia.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai acara menarik akan diadakan termasuk Malam Sangom Maglami-Lami, persembahan kebudayaan, pertandingan Ratu Lepa, perarakan lepa berhias, sukan laut tradisional seperti lumba perahu, selam piring dan tarik tali perahu serta majlis penangguhan rasmi yang akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Selain itu, program sampingan seperti Lepa Run, pertandingan Lepa Golf dan gerai jualan dan pameran produk tempatan turut diadakan untuk memberi peluang kepada usahawan mempromosikan hasil keluaran mereka.
Jafry berkata, penganjuran Regatta Lepa dijangka memberi impak positif kepada ekonomi masyarakat setempat menerusi peningkatan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta produk pelancongan dan kraftangan.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kebersihan di Semporna terus diperkukuhkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan untuk memastikan keselesaan pengunjung dan meningkatkan keyakinan pelancong terhadap daerah tersebut.
“Saya nasihatkan kepada mereka yang datang dari luar Sabah, datanglah tanpa ragu-ragu. Kerajaan telah mengambil inisiatif yang sewajarnya dengan menempatkan pasukan keselamatan di kawasan-kawasan strategik di Semporna. Kebelakangan ini juga tidak berlaku sebarang insiden yang di luar jangka,” katanya.
