Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 14 Ogos 2026 – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan reformasi dan transformasi menyeluruh institusi kehakiman Syariah perlu dilaksanakan untuk memastikan keadilan terus ditegakkan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.
Beliau berkata, reformasi perundangan Syariah bukan hanya melibatkan perubahan struktur dan sistem, tetapi turut merangkumi pengukuhan institusi, peningkatan profesionalisme dan pemantapan budaya kerja berteraskan amanah dan integriti.
Katanya, peranan Mahkamah Syariah kini semakin mencabar berikutan isu sosial semasa, termasuk berkaitan kekeluargaan, hak wanita, hak kanak-kanak, nafkah dan pewarisan.
“Isu berkenaan memerlukan penyelesaian berasaskan undang-undang yang diimbangi nilai ihsan, kebijaksanaan dan kemaslahatan rakyat,” katanya ketika merasmikan Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Negeri Sabah 2026 bertemakan ‘Transformasi dan Reformasi Perundangan Syariah: Memacu Kecemerlangan Mahkamah Syariah Negeri Sabah’, di Kota Kinabalu, Rabu lalu.
Tun Musa berkata, kecemerlangan Mahkamah Syariah tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kes yang diselesaikan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaannya memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa keadilan dapat ditegakkan secara telus, berkesan dan bermaruah.

Justeru, beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Julai lalu.
Menurutnya, RUU berkenaan merupakan langkah julung kali di Sabah dalam memperkasa pengurusan harta pusaka orang Islam, selain membuktikan komitmen kerajaan negeri menerajui pembaharuan perundangan Syariah yang dinamik dan moden.
Tun Musa turut menyambut baik penerbitan Buku Penghakiman Syariah Sabah yang menghimpunkan koleksi alasan penghakiman Mahkamah Syariah Negeri Sabah sebagai rujukan kepada hakim, pengamal undang-undang dan ahli akademik.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain.
Sumber: JAPEN

