KOTA BELUD: Program Perkemahan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman (experimential learning) bertujuan memperkukuh kemahiran insaniah, disiplin, dan semangat kerjasama dalam kalangan bakal pendidik.
Objektif utama Program Perkemahan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UMS ini termasuklah membangunkan kemahiran komunikasi, meningkatkan daya tahan fizikal dan mental, memupuk kesedaran terhadap alam sekitar, serta memperkukuh nilai kerohanian dan moral peserta.

Seramai 114 pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Perkhemahan selama tiga hari dua malam bermula 8 hingga 10 Mei lalu di Eco Camp Bayayat, Kadamaian.

Pengarah Program, Abdul Hanief Haiqal Abdul Hamid berkata, antara cabaran sepanjang penganjuran adalah persepsi peserta terhadap “kurangnya cabaran” dalam aktiviti yang dijalankan, namun situasi ini sebenarnya memberi ruang pembelajaran yang berbeza.

“Perkhemahan ini dibentuk untuk membina kemahiran survival dan meningkatkan cara berfikir pelajar dalam menyelesaikan masalah. Walaupun ada yang merasakan kurang cabaran, situasi ini memberikan peluang kepada peserta untuk berfikir secara kreatif dalam mengurus setiap aktiviti,” katanya.
Hanief menekankan bahawa pengalaman mengendalikan program itu memberi pendedahan kepada peserta tentang peranan sebenar seorang guru dalam pengurusan aktiviti luar bilik darjah.
Program anjuran pelajar DPLI UMS sesi 2 2025/2026 ini merupakan sebahagian daripada amali kursus DT50502 Pengurusan dan Pengelolaan Kokurikulum, yang dijadikan penilaian kepada pelajar semester satu program berkenaan.

Sepanjang program berlangsung, peserta menjalani pelbagai aktiviti seperti mendirikan khemah, aktiviti berkumpulan, memanah, mendaki (hiking), dan malam kebudayaan. Kesemua pengisian ini direka untuk menguji ketahanan mental dan fizikal, di samping menggalakkan kerja berpasukan dan kepimpinan.

“Saya berharap semua peserta memperoleh ilmu pengurusan perkhemahan dan pengalaman bermakna sebagai bakal pendidik. Saya juga berharap program ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kami dan menjadi ruang untuk mengurangkan tekanan sebagai bakal guru,” tambah Hanief.

Program perkhemahan ini turut diiringi oleh Profesor Madya Dr. Mohd. Rozilee Wazir Bin Norjali Wazir, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) Universiti Malaysia Sabam, dan Dr. Frederick Josue Frederick Mojilon @ Mohd Fadhil Abdullah, Penyelaras kursus DT50502 Pengurusan dan Pengelolaan Kokurikulum Universiti Malaysia Sabah.
Program perkhemahan sedemikian kekal menjadi platform berterusan untuk melahirkan bakal pendidik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah unggul dalam aspek kepimpinan, jati diri, dan kemahiran insaniah.
