Ratu silat Sabah Farah Mazlan sasar tiga Emas Asia dan Dunia

photo 2026 02 09 11 02 11

KOTA KINABALU – Selepas dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Sabah 2023–2024, atlet pencak silat negara, Nor Farah Mazlan, kini mengintai cabaran lebih besar dengan menyasarkan tiga pingat emas di pentas Asia dan dunia tahun ini.

Pesilat berusia 28 tahun dari Kota Belud itu memasang tekad memburu emas dalam Asian Championship, Asian Games dan World Championship, sekali gus meneruskan rentak cemerlangnya di peringkat antarabangsa.

photo 2026 02 09 11 02 14

“Saya sasarkan emas untuk ketiga-tiga kejohanan besar tahun ini. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan berikan sepenuh usaha,” katanya ketika ditemui wartawan selepas majlis penyampaian Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024, Jumaat lalu di Grand Ballroom The Magelan Sutera Resort, Kota Kinabalu.

Sepanjang tahun 2023 hingga 2024, Farah membuktikan keupayaannya apabila meraih pingat emas Sukan SEA, selain muncul juara Asian Championship di Dubai dan World Championship di Abu Dhabi.

Menurutnya, cabaran terbesar ketika ini adalah mengekalkan prestasi terbaik dalam persaingan yang semakin sengit susulan kemunculan atlet muda yang lebih bertenaga dan kompetitif.

“Tiada rahsia kejayaan. Saya hanya bekerja keras dan kekal konsisten. Kalau mahu terus relevan, kita perlu berusaha lebih daripada orang lain,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati orang di luar sana agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersemangat menghadapi setiap cabaran dalam arena sukan.

Farah mula mempelajari pencak silat seawal usia enam atau tujuh tahun di bawah bimbingan bapanya yang juga jurulatih, sebelum minat tersebut berkembang menjadi kerjaya profesional sehingga berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal