KOTA KINABALU: Rakyat Sabah mahu kerajaan negeri tampil dengan pendirian tegas berhubung hak wilayah negeri ini, bukan sekadar menyatakan pendirian “lebih selari” dengan saman yang difailkan pertubuhan masyarakat sivil.
Desakan itu muncul selepas Mahkamah Tinggi memberi tempoh tiga hari kepada Peguam Besar Negeri Sabah untuk menyatakan kedudukan rasmi kerajaan dalam kes saman hak wilayah yang difailkan Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) terhadap Kerajaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming, berkata kelewatan menetapkan pendirian selepas hampir tiga tahun kes difailkan menimbulkan keraguan terhadap komitmen kepimpinan negeri.
“Selepas kira-kira tiga tahun proses litigasi berjalan, mengapa pendirian Kerajaan Negeri kita sendiri masih tidak jelas? Sekadar menyatakan pendirian ‘lebih selari’ (more aligned) dengan SABAR adalah tidak memadai kerana rakyat Sabah berhak mendapat kepastian dan kepimpinan tegas dari kerajaan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chin yang juga Ketua Biro Undang-Undang Parti Warisan menegaskan, kes itu bukan sekadar pertikaian teknikal antara had sempadan tiga batu nautika dengan 12 batu nautika, sebaliknya melibatkan integriti wilayah, kuasa perundangan, sumber asli dan masa depan ekonomi Sabah.
Menurutnya, Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan perlindungan terhadap sebarang pengubahan sempadan sesebuah negeri tanpa persetujuan sewajarnya, sekali gus menuntut Kerajaan Negeri bersikap telus mengenai hak substantif yang ingin dipertahankan.
Sehubungan itu, Chin menuntut Ketua Menteri dan Kabinet Negeri menjelaskan sama ada Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya kesemua lima deklarasi yang dipohon SABAR di mahkamah, atau memperincikan deklarasi mana yang tidak dipersetujui berserta alasannya.
Chin turut mempersoalkan sama ada Kabinet Negeri telah mengeluarkan arahan rasmi yang jelas kepada Peguam Besar Negeri untuk mempertahankan hak wilayah dan pelantar benua Sabah dalam prosiding itu.
“Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu Peguam Besar Negeri, tetapi akhirnya dipikul oleh Ketua Menteri dan Kabinet Negeri. Beban mempertahankan hak perlembagaan Sabah tidak sepatutnya digalas oleh pertubuhan masyarakat sivil bersendirian,” tegasnya.
Chin yang turut membangkitkan konsistensinya memperjuangkan hak 40 peratus hasil bersih Sabah melalui Usul Kapayan sebelum ini mengingatkan bahawa pertimbangan pakatan politik dengan Putrajaya tidak boleh mengatasi hak perlembagaan negeri yang wajar dipertahankan untuk generasi akan datang.
