PRU15: Sabah menerima kejutan lain?
KOTA KINABALU 22 OKTOBER 2022
Ramai pemimpin politik Sabah secara terbuka menyuarakan rasa terkejut dengan peningkatan mendadak jumlah pemilih baharu Sabah yang berdaftar.
Kudat adalah daerah terbaru yang menyaksikan perkembangan yang boleh dikatakan ‘mengejutkan.’ Daerah ini adalah antara 25 kawasan parlimen bagi Sabah dan antara kawasan yang majoriti penduduknya adalah kaum KDMR.
Menggunakan statistik SPR sebagai kayu pengukur, kawasan Kudat mungkin menyaksikan sesuatu yang baru kerana buat pertama kali, seorang etnik India pun boleh dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Ini berikutan ada lebih daripada 16,000 pengundi etnik India berdaftar di kawasan itu.
Mengikut statistik ada 3,818 pengundi India berdaftar di Banggi, 5,392 di Tanjong Kapor dan 7,446 pengundi di Pitas. Ketiga-tiganya adalah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kerusi parlimen Kudat.
Kudat kini mempunyai seramai 52,259 pemilih berdaftar berbanding hanya 23,258 pada pilihan raya umum 2018. Bermakna, dalam tempoh lima tahun jumlah pengundi baharu di daerah ini meningkat hampir 30,000 pengundi.
Jadi berdasarkan kepada perangkaan terbaru SPR, sesiapa sahaja yang akan diundi orang India dalam pilihan raya nanti, pasti muncul sebagai pemenang.
Jadi mengapa tidak seorang etnik India dijadikan sebagai calon? Dia boleh bertanding menggunakan mana-mana tiket parti politik dan dia pasti akan mendapat sokongan pengundi baru.
Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan pada 9 Oktober 2022 bahawa ada 1,638,806 pemilih berdaftar baharu berbanding 1,064,686 pada pilihan raya umum 8 Mac 2018.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 574,120 atau 53.9 peratus pemilih berdaftar baharu yang akan membuang undi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.
Semalam SPR menetapkan 5 November untuk penamaan calon dan pengundian pada 19 November. Daftar pemilih yang dikemas kini pada 9 Oktober 2022 akan digunakan dalam pilihan raya ini.
Dalam pilihan raya pada 2018, Datuk Abdul Rahim Bakri dari Barisan Nasional (Umno) memenangi kerusi Kudat dengan 18,503 undi iaitu 1,359 undi lebih berbanding 17,144 undi yang diperoleh Shariff Azman Along dari Warisan.
Calon ketiga Mohd Ashraf Chin dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah memperoleh 1,432 undi.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi Penampang, Senator Datuk John Ambrose turut menyuarakan rasa terkejut apabila mengetahui ada lebih 16,000 warga India berdaftar sebagai pengundi di kawasan Kudat.
Bagaimana pula di kawasan pilihan raya lain?
Semakan lanjut mengenai komposisi pengundi di kawasan lain juga menarik kerana terdapat juga peningkatan mengejutkan pengundi baharu di Keningau, Sepanggar, Tuaran, Putatan, Ranau, Kinabatangan dan Pensiangan.
SPR dijangka memberi taklimat kepada Kerajaan Negeri mengenai peningkatan mendadak pengundi baharu di Sabah dalam masa terdekat ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Noor tidak mengetepikan keraguan yang dirasakan oleh pemimpin terhadap senario perpecahan politik negeri ini yang mencetuskan pelbagai masalah.
Presiden Sabah Star Datuk Dr Jeffery Kitingan, Presiden Parti Progresif Sabah Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Datuk Clarence Bongkos Malakun menuntut jawapan daripada SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung peningkatan mendadak pengundi di Sabah.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai pula dilaporkan menggesa bahagian partinya mengambil inisiatif meneliti daftar pemilih secara menyeluruh bagi memastikan identiti pengundi baharu di kawasan masing-masing.
Gesaan juga dibuat meminta Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Majlis Keselamatan Negeri bagi menyiasat peningkatan mendadak bilangan pengundi baharu yang layak di Sabah.
0 Comments